Malaysia Bakal Terima Sumbangan 1 Juta Dos Sinovac Dari China

Malaysia bakal menerima sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19 jenis CoronaVac (Sinovac) tambahan daripada China.

malaysia bakal terima sumbangan 1 juta dos sinovac dari china

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), ia adalah dasar persahabatan yang mendalam antara kedua-dua negara dan sesama rakyat.

“Sebelum ini, Kerajaan China pada Julai 2021 telah menyumbangkan 500,000 dos vaksin Sinovac untuk membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Malaysia,” kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

“Malaysia dan China telah bekerjasama sejak tercetus wabak COVID-19,” tambah beliau.

Terdahulu, China menunjukkan solidariti dengan Malaysia menerusi sumbangan bekalan peralatan perubatan seperti topeng pelitup muka, peralatan pelindung diri (PPE) dan ventilator, selain menghantar sepasukan pakar kesihatan dari Guangzhou bagi berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam rawatan pesakit dan pengurusan data.

Dalam pada itu, Malaysia turut membalas jasa itu dengan sumbangan wang tunai US$1 juta, 18 juta sarung tangan getah dan 15 tan barang makanan ke China semasa wabak mula menular di Wuhan.

Kedua-dua kerajaan telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dalam Pembangunan dan Aksesibiliti Vaksin dan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama dalam Era Pasca-COVID-19 masing-masing pada 18 November 2020 dan 1 April 2021.

Selain itu, Malaysia juga turut tersenarai antara penerima utama vaksin buatan China pada Oktober 2020.

 

Sumber: [1]