Selepas sekian lama tidak membuat kemunculan di layar, pelakon Korea Selatan yang popular menerusi filem 200 Pounds Beauty, Kim Ah-Joong kembali tampil dalam drama terbaru, Grid yang kini ditayangkan di platform penstriman popular, Disney+ Hotstar.
Grid ialah drama thriller yang mengikuti seorang pegawai polis (lakonan Seo Kang Joon) dan seorang detektif (lakonan Kim A-Joong) yang berniat mendedahkan kebenaran tentang kewujudan misteri yang menyelamatkan manusia dalam krisis.
Menerusi temu bual mengenai drama tersebut, Kim menceritakan pengalamannya berkongsi layar bersama Seo Kang Joon yang juga telah lama tidak tampil dalam mana-mana drama Korea.
Katanya, “Terdapat sesuatu yang istimewa tentang mata Kang Joon dan anda pasti dapat melihat bahawa dia sangat serius dengan apa yang dia lakukan, dan dia suka apa yang dia lakukan.
“Grid akan menjadi siri yang mana kita akan dapat melihat sisi baharu dirinya dan cara dia menghidupkan watak ini, Sae Ha. Ia pastinya meninggalkan kesan yang baik dan berpanjangan tentangnya.”
Berbicara mengenai dirinya yang dilihat berehat dari dunia lakonan selama lebih dari lima tahun sebelum kembali semula menerusi Grid, kongsi Kim, “Saya tahu saya mengambil masa terlalu lama, bukan? Alangkah baik sekiranya saya kembali ke drama televisyen lebih awal. Bagaimanapun, saya telah mencuba yang terbaik.
“Saya tidak pernah berehat, saya tidak pernah berkata kepada diri sendiri ‘Ah, A-Joong, mari kita berehat’. Saya tidak melakukan apa-apa seperti itu. Saya terus menerima skrip, dan saya terus menyemak semua projek ini tetapi ia tidak berlaku. Itu sahaja yang saya boleh kongsikan pada ketika ini.
“Tetapi saya sangat gembira dan bersyukur kerana saya kembali dengan sesuatu yang saya boleh berasa bangga. Sekadar menjelaskan, ia bukannya seperti saya bercuti sepenuhnya sepanjang lima tahun ini. Ada juga sebuah filem yang saya kerjakan, ia berjudul “Bad Guys”. Saya tidak pasti sekiranya ia dikeluarkan di Hong Kong, tetapi ia adalah “remake” daripada drama televisyen Korea.”