Lima Pelajar Malaysia Diterima Masuk Ke Harvard Serentak

Lima pelajar Malaysia mencipta sejarah apabila diterima masuk bersama-sama ke  sebuah universiti berprestij dunia iaitu Universiti Harvard bagi tahun 2022.

lima pelajar malaysia diterima masuk ke harvard serentak

Ia adalah jumlah tertinggi yang pernah direkodkan bagi bilangan pelajar dari Malaysia yang diterima masuk ke Harvard pada tahun yang sama.

Kelima-lima mereka berjaya menewaskan permohonan seramai 61,220 pelajar dari serata dunia.

Kejayaan tersebut turut dilihat luar biasa memandangkan kadar penerimaan Harvard pada tahun ini adalah kadar terendah dalam sejarah universiti terbabit iaitu sebanyak 3.19 peratus.

Kelima-lima pelajar itu adalah Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang, Chooi Je Qin dari Johor, Carisma Michaela Wong dari Sabah dan Lee Ee Jenn dari Kuala Lumpur.

Mereka bakal menamatkan pengajian di Harvard pada 2026.

Alumni pelajar Harvard, Wan Nadiah Wan Mohd. Abdullah Yaakob turut meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan lima pelajar pintar itu.

“Kami sangat gembira apabila lima pelajar Malaysia memecahkan rekod diterima ke Kolej Harvard dalam satu tahun. Paling banyak dua pelajar yang diterima masuk setiap tahun dan kadangkala tiada,” katanya dalam satu kenyataan.

Dua lagi alumni pelajar Harvard iaitu Nick Khaw dan Jacinta juga menyeru semua pelajar di Malaysia untuk turut sama mencuba nasib di Harvard.

Ia berikutan keluarga yang berpendapatan di bawah AS$75,000 (RM316,000) setiap tahun tidak akan dikenakan sebarang bayaran yuran, sebaliknya akan ditaja sepenuhnya oleh Harvard.

“Malaysia mempunyai bakat luar biasa dan memandangkan soal kewangan bukan penghalang untuk menyertai Harvard, kami ingin menggalakkan lebih ramai anak muda Malaysia untuk memohon.”

 

Sumber: [1]