Lebih 500,000 Aduan MySejahtera Telah Diselesaikan

Sejumlah 500,000 isu berkenaan sijil vaksinasi digital dalam paparan aplikasi MySejahtera berjaya diselesaikan dalam tempoh seminggu.

lebih 500,000 aduan mysejahtera telah diselesaikan

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya pada ketika ini juga sedang berusaha bagi menyelesaikan 200,000 lagi isu sama yang dijangka akan diselesaikan dalam waktu terdekat.

“Antara masalah yang dikenal pasti berpunca daripada status penerima vaksin sebagai tanggungan menyebabkan sijil vaksin individu tersebut terikat dengan pemilik akaun utama.

“Tanggungan sijil itu terlekat pada (akaun aplikasi) bapa ataupun mak...untuk masalah ini pemilik akaun perlu keluarkan akaun tanggungan bagi membolehkan tanggungan mendaftar MySejahtera.

“(Namun begitu) apabila tanggungan buka akaun MySejahtera (sebagai akaun utama) ia tidak keluarkan sebagai dependen sebab sijil itu tidak berpindah kepada yang kedua (akaun tanggungan),” jelas Khairy.

Lanjutnya lagi, antara sebab lain yang dikenal pasti ialah pemilik MySejahtera yang tidak mengesahkan nombor kad pengenalan mereka dalam aplikasi tersebut.

 “Pengguna kena sahkan dulu untuk dapat sijil itu ataupun pengguna lebih daripada satu akaun MySejahtera dan sijil vaksin itu dipaparkan dalam akaun pengguna ketika mendapat vaksin di PPV (Pusat Pemberian Vaksin),” terang beliau lagi.

Dalam pada itu, aduan yang diterima berkaitan ketiadaan paparan sijil digital vaksin dikenal pasti berpunca daripada PPV yang tidak melengkapkan proses dokumentasi setelah individu selesai menerima suntikan vaksin.

Berikutan itu, MySejahtera kini sedang melakukan penyelarasan dengan PPV bagi memastikan pengguna akan menerima paparan sijil digital vaksin di dalam aplikasi tersebut.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN