Lebih 5,000 Pesakit Long COVID Jalani Rawatan Setakat Akhir Oktober

Seramai 5,193 pesakit di serata negara dilaporkan menjalani rawatan serta pemantauan program rehabilitasi menangani gejala Long COVID, atau ancaman komplikasi jangka panjang akibat COVID-19 hingga 30 Oktober lalu.

lebih 5,000 pesakit long covid jalani rawatan setakat akhir oktober

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat dua tempoh bagi Long COVID yang menyaksikan bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala dan komplikasi walaupun selepas jangkitan.

“Gejala yang berterusan COVID-19 adalah tanda dan gejala selepas jangkitan COVID-19 dalam tempoh 4 minggu hingga 12 minggu dan Sindrom Pasca COVID-19 adalah tanda dan gejala wujud pada ketika atau selepas jangkitan COVID-19 yang berterusan melepasi 12 minggu yang tidak dapat dijelaskan oleh sebarang diagnosis lain,” katanya.

Lanjut beliau, “Tanpa rawatan yang khusus, keadaan ini akan berterusan dan tempoh masa yang lama diperlukan bagi kembali ke tahap fungsi sepenuhnya. Secara tidak langsung, ia akan menjejaskan kualiti kehidupan individu pasca jangkitan COVID-19.

“Selain itu, Long COVID boleh menyebabkan implikasi serius seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti dan hilang sumber pendapatan. Bebanan sosioekonomi bukan sahaja memberi impak kepada pesakit malah turut dirasai oleh ahli keluarga, masyarakat serta negara,” jelasnya.

Menurut Dr Noor Hisham, antara gejala yang menunjukkkan seseorang itu mengalami Long COVID termasuk kelesuan, kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti, batuk, kesakitan dan kesukaran tidur nyenyak.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN