Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah memperkenalkan Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) yang dipaparkan menerusi aplikasi MyJPJ dan Portal Awam JPJ.
Sejak dari itu, pelbagai kritikan dan maklumbalas diberikan warganet khususnya pengguna kenderaan persendirian tentang cara dan bagaimana lesen digital ini berfungsi.
Justeru, JPJ telah membuat beberapa penambahbaikan pada Aplikasi MyJPJ dan Portal Awam JPJ, termasuk memperkenalkan sekuriti tambahan padanya.
1. Memperkenalkan sekuriti peringkat ke-3 menggunakan 8 aksara terakhir yang tertera di belakang lesen memandu untuk pendaftaran JPJeID secara dalam talian. (Tambahan kepada 2 peringkat sekuriti sedia ada iaitu "kata laluan" dan "kod TAC").
2. Menambah fungsi bagi mendapatkan semula akaun pengguna melalui 8 aksara terakhir lesen memandu. Ini adalah penyelesaian kepada isu "telah mendaftar" disebabkan pengguna sebelum ini mempunyai akaun di portal rakan strategik JPJ yang berintegrasi dengan sistem JPJ.
3. Menambah fungsi Penetapan Semula Emel bagi pengguna yang terlupa emel yang digunakan atau perlu mengemaskini emel secara dalam talian dengan tambahan 8 aksara lesen memandu.
Penambahbaikan ciri-ciri keselamatan ini dapat diakses oleh pengguna secara berperingkat mengikut Operating System telefon (Android, IOS dan Huawei) mulai 15 Februari 2023.
Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan aspek keselamatan siber Aplikasi MyJPJ terjamin.
Sebarang pertanyaan boleh disalurkan ke emel infodigital@jpj.gov.my atau menghubungi talian hotline JPJ iaitu 03-27242522.
Sumber: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia