Kumpulan K-Pop IZ*ONE Sah Dibubarkan

Peminat muzik K-Pop sekali lagi menerima kejutan yang menyedihkan apabila kumpulan kegemaran ramai, IZ*ONE disahkan bakal dibubarkan menjelang April ini.

kumpulan k-pop iz*one sah dibubarkan

Berita tersebut dikhabarkan sendiri oleh Mnet pada 10 Mac.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mnet, satu perbincangan antara Swing Entertainment dan Off The Record telah diadakan dan pelbagai pendapat daripada agensi-agensi terbabit mengenai kumpulan tersebut diutarakan.

Berikutan itu, keputusan sepakat untuk membubarkan IZ*ONE akhirnya diambil demi meneruskan kelangsungan aktiviti seni kesemua 12 anggota IZ*ONE dalam keadaan terbaik.

Walaubagaimanapun, peminat akan diberikan peluang untuk melihat IZ*ONE buat kali terakhir menerusi konsert atas talian, ONE, THE STORY, yang bakal diadakan pada 13 dan 14 Mac minggu ini.

IZ*ONE dibentuk sebagai kumpulan projek menerusi rancangan survival Mnet, Produce 48.

Menurut perancangan, kumpulan tersebut diketahui untuk menjalani promosi selama dua tahun setengah.

IZ*ONE kemudiannya melakukan debut pada 2018 dengan album COLOR*IZ.

Sepanjang karier mereka, kumpulan tersebut terus berkembang menjadi antara kumpulan gadis K-Pop yang popular, bukan sahaja di Korea Selatan bahkan di serata dunia.

Awal tahun ini, terdapat sumber yang mengatakan bahawa CJ ENM, iaitu syarikat induk Mnet, telah menghubungi agensi anggota masing-masing untuk membincangkan mengenai kemungkinan pemanjangan kontrak.

Namun, persoalan mengenai pertemuan tersebut akhirnya terjawab apabila semalam Mnet mengumumkan kumpulan tersebut bakal menemui pengakhiran pada April ini.

 

Sumber: Soompi