Cubaan seorang penjenayah untuk merompak rumah lelaki di Mississippi, Amerika Syarikat digagalkan oleh seekor kucing wira yang merupakan milik lelaki tersebut.
Bandit, seorang kucing seberat 9.1 kilogram, tinggal bersama tuannya, Fred Everitt di pinggi bandar Tupelo, Belden.
Ketika dua lelaki cuba menceroboh kediaman mereka minggu lalu, si bulu itu melakukan segala yang termampu untuk memaklumkan Everitt tentang bahaya yang menanti.
“Anda mendengar tentang anjing pengawal, tetapi kali ini kucing pengawal pula,” katanya kepada Northeast Mississippi Daily Journal.
Cubaan rompakan itu dilaporkan berlaku antara 2.30 pagi hingga 3 pagi pada 2 Julai lalu.
Menurut Everitt, dia pada mulanya dikejutkan oleh bunyi Bandit yang mengiau di dapur.
Kucing itu kemudian berlari masuk ke dalam bilik tidur dan melompat ke atas katil sebelum menarik selimut dan mencakar lengannya.
Everitt menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada ketika itu kerana ia bukan sikap kebiasaan Bandit, yang diambil sebagai peliharaan dari pusat perlindungan empat tahun lalu.
Dia kemudian bangun untuk menyiasat dan melihat dua lelaki berada di luar pintu belakangnya. Seorang mempunyai pistol, dan seorang lagi sedang cuba membuka pintu.
Pesara berusia 68 tahun itu kemudian ke dapur untuk mengambil pistolnya, namun apabila dia kembali, penceroboh telah melarikan diri.
Everitt memaklumkan dia tidak menghubungi polis untuk membuat laporan tentang kejadian itu.
“Keadaan mungkin menjadi buruk jika Bandit tidak mengejutkan saya dari tidur,” kata Everitt.
Sumber: Astro Awani