Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, bandar Cowra di Australia bukan sahaja dihadapkan dengan pandemik COVID-19, tetapi juga dengan kemarau dan wabak tikus.
Berikutan itu, dalam usaha membawa para pelancong kembali ke New South Wales, seorang pengurus pelancongan Cowra yang bernama Glenn Daley bertekad melakukan sesuatu yang luar biasa iaitu dengan ‘memanggil’ bintang Thor, Chris Hemsworth yang merupakan duta pelancongan selebriti nasional Australia.
Cetus idea Daley akhirnya menghasilkan hashtag #GetChristoCowra, satu kempen yang disokong majlis pelancongan tempatan dan diterima sepenuhnya penduduk Cowra.
Dalam video kempen itu, kelihatan beberapa penduduk tempatan Cowra yang berpakaian kostum Thor, memegang papan tanda dan bahkan, seakan-akan membuat rancangan untuk membina patung raksasa bintang filem Australia itu setinggi empat tingkat.
Namun, kemenangan terbesar datang melalui Hemsworth sendiri yang mana dia berkongsi video tersebut di Instagram peribadi miliknya!
Coret Hemsworth, “Sayang semua penduduk Cowra atas kempen yang menarik ini, ia menghangatkan hati saya dan membuatkan saya tersenyum. Saya bakal menjalani penggambaran filem di luar negara tidak lama lagi tetapi sebaik kembali tahun depan, saya pasti datang!”
Hemsworth yang menempa populariti menerusi watak adiwira Thor merupakan seorang anak kelahiran Melbourne.
Beberapa tahun lalu, Hemsworth dan keluarganya berpindah dari Los Angeles ke Australia yang mana pada 2018, dia kemudian dilantik sebagai duta pelancongan Australia.
“Saya rindukan Australia. Saya rindukan orangnya. Saya rindukan garis-garis pantainya,” kata Hemsworth kepada CNN pada ketika itu.
Kongsi Daley yang membuat kempen tersebut, sama ada Hemsworth benar-benar akan datang ke Cowra pada tahun depan atau tidak, dia tetap kagum terhadap sejauh mana kempen cetusnya itu berjaya pergi.
"Ini telah meletakkan Cowra di peta dalam peringkat antarabangsa, ia sangat luar biasa bagi sebuah bandar kecil,” kata Daley.
Sumber: [1]