Kostum Balet Popular The Dying Swan Ditayangkan Kepada Orang Ramai

Kostum balet bersejarah yang pernah dikenakan penari Rusia, Anna Pavlova kini ditayangkan kepada orang ramai menerusi satu siri video yang dilancarkan Muzium London.

kostum balet popular the dying swan dipamerkan kepada orang ramai

Pavlova pertama kali mengenakan gaun tersebut menerusi karya solonya yang berjudul The Dying Swan pada 1907.

Siri video yang terbahagi kepada lima episod itu melihat konservator tekstil, Emily Austin yang berusaha memulihkan pakaian tersebut agar dapat dipamerkan pada masa akan datang.

Seperti mana yang dapat dilihat dalam sorotan video tersebut, Emily berusaha sehabis mungkin untuk mengembalikan gaun tersebut kepada kondisi asalnya dengan mengambil masa lebih daripada 100 jam.

Gaun tersebut menampilkan pelbagai lapisan kain tulle berserta manik, bulu angsa serta korset utama yang diperbuat daripada sutera. Demikian menjadikannya arkib pakaian yang halus.

Menurut Muzium London, gaun tersebut merupakan sesuatu yang sangat luar biasa daripada koleksi arkib mereka.

Manakan tidak, kongsi mereka lagi, The Dying Swan, yang menerima sentuhan daripada koreografer dan penari Rusia iaitu Mikhail Fokine, dianggap sebagai mercu tanda dalam sejarah balet.

Sepanjang hayatnya, Pavlova sering mempersembahkan karya tersebut di ibu kota sekitar 1920-an hingga ia menjadi kegemaran dalam kalangan para penonton di London.

Sekadar perkongsian, nama pencuci mulut popular, pavlova, sebenarnya adalah diinspirasikan daripada nama Anna Pavlova sendiri.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN