Kos Makan Luar Mungkin Meningkat 25 Hingga 40 Peratus

Harga makanan yang dijual di kedai makanan dijangka meningkat seiring dengan pemansuhan subsidi minyak masak botol dan inflasi.

kos makan luar mungkin meningkat 25 hingga 40 peratus

Menurut Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata harga makanan telah meningkat sedikit, dan dijangka meningkat lagi pada bulan ini.

“Perubahan memang ada, tetapi kita cuba pastikan ia tidak melebihi 10 sen hingga 20 sen.

“Ini di luar kawalan kami. Saya meminta ahli saya mengekalkan harga lama, tetapi mereka tidak dapat mengekalkannya lagi kerana kos overhed mereka telah meningkat.

“Biasanya harga bahan mentah tertentu hanya akan naik sekali atau dua kali setiap tahun. Tetapi kali ini, ia adalah luar biasa. Tepung, susu pekat dan sejat, harga Milo dan Nescafe, naik tiga kali ganda. Apatah lagi harga ayam juga meningkat berkali-kali ganda,” katanya kepada akhbar tempatan.

Kata Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, Jeremy Lim, orang ramai boleh menjangkakan kenaikan harga di restoran-restoran tertentu berikutan para pengusaha bergelut dengan kenaikan kos.

“Sepanjang 27 bulan lalu, harga bahan mentah, pengangkutan dan logistik telah meningkat dengan ketara.

“Pengendali perniagaan yang berbeza akan mengambil pendekatan berbeza untuk menguruskan kenaikan ini. Tidak semua orang akan menaikkan harga pada 1 Julai. Perniagaan yang memilih untuk menyampaikan kenaikan harga kepada pengguna juga mempunyai tekanan tersendiri,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa ia bukan satu keputusan pemudah yang diambil para pengusaha dalam menaikkan harga semasa tempoh inflasi ini. Namun, sekiranya mereka tidak berbuat demikian, mereka juga mungkin akan berdepan kerugian.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Baba Kutty berkata harga makanan yang dijual oleh penjaja boleh meningkat sebanyak 25 peratus hingga 40 peratus.

“Akhirnya, orang ramai akan menderita kerana harga makanan meningkat. Apabila penjaja membeli (bahan) pada harga yang tinggi, sudah tentu mereka akan menjual (makanan) itu dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Tambah beliau, penjaja sudah pun merasa tertekan apabila pembekal menaikkan harga berikutan perintah kawalan pergerakan, dan menambah kerajaan juga perlu meneliti kerenah birokrasi, caj tersembunyi serta masalah berkaitan pembekalan.


Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN