Korea Selatan Akan Guna Pil Pfizer COVID-19 Bagi Membendung Penularan Omicron Yang Kian Menjadi-Jadi

Korea Selatan dilaporkan akan mula merawat pesakit COVID-19 dengan menggunakan pil anti-COVID-19 keluaran Pfizer berikutan kebimbangan meningkat terhadap penyebaran varian Omicron yang begitu mudah menular.

korea selatan akan guna pil pfizer covid-19 bagi membendung penularan omicron yang kian menjadi-jadi

Sekurang-kurangnya 21,000 pil yang digelar Paxlovid itu akan dihantar ke kira-kira 280 farmasi dan 90 pusat rawatan sementara lagi 10,000 lagi dijangka tiba lewat Januari ini, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Pil akan digunakan untuk merawat lebih daripada 1,000 orang sehari dengan kumpulan keutamaan melibatkan pesakit yang mempunyai peluang tinggi untuk mengalami gejala kritikal dan golongan berusia 65 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai imuniti yang berkurangan, kata KDCA.

Paxlovid keluaran Pfizer dikatakan hampir 90 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke hospital dan kematian pada pesakit berisiko tinggi mendapat penyakit teruk yang mana terdapat data yang dikeluarkan Pfizer menyarankan bahawa ia berkesan dalam menentang Omicron.

Sementara itu, pil antiviral masih belum digunakan secara meluas di Malaysia.

Meskipun begitu, 7 Oktober tahun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia dilaporkan telah menandatangani surat aku janji pembelian ubat antiviral Molnupiravir bagi menambah pilihan rawatan inovatif baru dalam melawan COVID-19.

Menerusi perjanjian bersama MSD itu, kerajaan bersetuju membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit COVID-19.

Walaubagaimanapun, sekitar awal Disember lalu, KKM dikatakan akan menyelaras semula pembeli ubat antiviral terbabit bagi menyesuaikan keperluan ubat-ubatan bagi rawatan COVID-19 mengikut peruntukan kerajaan sebanyak RM172 juta, menurut laporan Astro Awani.

Kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, ia selaras dengan perkembangan terkini selepas syarikat AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech yang turut mengeluarkan ubat khusus bagi merawat penyakit itu.

 

Sumber: [1] [2]