Susulan daripada peningkatan bilangan kes positif COVID-19 sejak akhir-akhir ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin, terutamanya bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, setakat ini bekalan vaksin masih mencukupi dan belum mencapai tarikh luput, selain ia juga berkesan melindungi orang ramai daripada terkena jangkitan mutasi atau strain baharu COVID-19 untuk pelaksanaan dos penggalak ketiga.
"Dos penggalak perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.
"Kita (KKM) sedar ada sedikit peningkatan kes (COVID-19) dan mutakhir adalah dalam lebih 12,000. Saya telah memberitahu Kabinet semalam untuk maklum kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dah ahli (Kabinet) akan situasi ini dan wajar kita berikan perhatian,” katanya.
Kes COVID-19 dalam negara dilapor meningkat kepada 12,757 kes, dari 3 hingga 9 Disember, berbanding 6,796 kes dilapor pada minggu sebelumnya.
Menurut beliau lagi, peningkatan kes jangkitan COVID-19 ini adalah terkait dengan pergerakan orang merentas negeri menjelang cuti akhir tahun tanpa memakai pelitup muka dan juga keadaan cuaca dalam negara.
Sumber: Astro AWANI