Baru-baru ini, tular beberapa foto yang menunjukkan ada peniaga yang menjual minuman menggunakan bekas kaca akuarium berserta dengan pam air, kononnya mahu menunjukkan kelainan.
Meskipun ia menarik perhatian warganet dengan kreativiti yang dibuat, tindakan itu sebenarnya adalah satu kesalahan berdasarkan arahan Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penggunaan bekas bukan untuk tujuan makanan seperti akuarium untuk medium penyimpanan air adalah satu larangan.
“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca, acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum selain
phthalates yang boleh larut dalam air seterusnya mengakibatkan kesan kepada kesihatan.
“KKM melalui BKKM sentiasa menjalankan pemantauan atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.
Dalam pada itu, KKM mengingatkan penjual dan pengguna untuk memandang serius berkenaan keselamatan makanan serta memastikan makanan dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua.
Sumber: Utusan / Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan