Rakyat Malaysia di enam buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan akan memilih kerajaan negeri masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, 12 Ogos.
Terdahulu, proses pengundian awal telahpun dibuat beberapa hari lalu melibatkan petugas SPR, tentera dan polis, serta perantau yang kini menetap di luar negara melalui undi pos.
Seorang rakyat Malaysia, Alex Toh yang kini menetap di Sacramento, California, tidak melepaskan peluang untuk melakukan tanggungjawabnya pada PRN kali ini.
Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad (6 Ogos), Alex berkata beliau pernah terlepas peluang seperti ini pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
Enggan melakukan kesilapan yang sama, Alex dengan sepenuh hati membuat undi pos bagi PRN kali ini.
Bagaimanapun tiada ‘runner’ bertugas di kawasannya di Bay Area, menyebabkan dia perlu menyerahkan kepada ‘runner’ terdekat iaitu di LA.
Alex berdepan dengan beberapa detik malang seperti terpaksa memandu kereta dengan cermin yang pecah akibat cubaan mencuri yang berlaku pada malam sama, dan terlepas pula penghantaran pos kertas undi oleh ‘runner’ di LA.
Lantas, dia terpaksa mengepos kertas undinya ke Malaysia melalui pos semalaman yang agak mahal harganya (sekitar USD84 atau kira-kira RM385) berbanding pengeposan biasa.
Kisah yang dikongsikan Alex menerusi Facebooknya ini mencuri perhatian ramai dan menjadi inspirasi untuk rakyat di negara ini keluar membuang undi pada Sabtu, 12 Ogos.
Malah, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut memuji tindakan lelaki ini menerusi satu hantaran di Facebook. .
“Terima kasih, tuan, kerana mengundi untuk mempertahankan masa depan negara kita. Sila kembali dan mengundi untuk memastikan Malaysia menghormati kepelbagaian dan kedaulatan undang-undang, kekal sebagai negara berbilang kaum yang demokratik, dan tidak menyasarkan rakyat Malaysia berdasarkan kaum atau agama,” ujar beliau.
Sumber: Facebook