Kesunyian Punca Ramai Wanita Berusia 40 Tahun Terjerat Dengan ‘Love Scam’

Kesunyian adalah antara punca mengapa wanita berusia lebih 40 tahun ada yang melayan  individu tidak dikenali di media sosial dan terjerat  dengan 'Love Scam' 

Menurut ASP Mohamad Mahathir Abdullah Sapawi dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, kebanyakan wanita yang bekerja dalam bidang profesional seperti doktor dan pensyarah menjadi sasaran penipuan ini kerana mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

"Kebiasaannya scammer ini sudah ada modus operandi iaitu menyasarkan wanita yang memiliki banyak sumber kewangan

"Mangsa akan berkenalan dengan suspek menerusi media sosial dan suspek menyamar sebagai juruterbang, ahli perniagaan, tentera atau jurutera dalam bidang minyak dan gas," katanya. 

Bukan itu sahaja, suspek akan menggunakan kata-kata manis hingga mangsa jatuh cinta hanya dalam tempoh antara satu hingga tiga bulan sahaja.

"Suspek melakukan tipu daya dengan memberi alasan seperti mahu memberi hadiah, pelaburan perniagaan, wasiat termasuk pembayaran bil hospital," katanya.

Beliau berkata sebanyak 13,597 laporan membabitkan jenayah siber dengan jumlah kerugian kira-kira RM110 juta direkodkan di Perak sepanjang tahun lepas.

 

Sumber: Kosmo