Kes Positif COVID-19 Dijangka Turun Secara Drastik Menjelang Mei

Malaysia bakal melihat sinar harapan mengenai pandemik COVID-19 yang melanda apabila jumlah kes dijangkakan bakal menurun menjadi tiga angka menjelang Mei ini.

kes positif covid-19 dijangka turun secara drastik menjelang mei

Semalam, Datuk Seri Dr Adham Baba berkongsi mengenai Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjangkakan 500 kes harian positif COVID-19 bermula Mei.

Namun, perkara tersebut hanya boleh dicapai sekiranya rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Terangnya, jangkaan terbabit dibuat berikutan trend penurunan nilai kebolehjangkitan (RT) atau R-naught (Ro) yang dicatatkan pada 0.87 semalam berbanding 0.9 pada 28 Februari lepas.

Lanjutnya, “Namun begitu, sekiranya SOP tidak dipatuhi, RT dijangkakan meningkat semula melebihi 1.0, begitu juga bilangan kes harian.”

Dalam pada itu, Dr Adham turut mengumumkan mengenai zon hijau yang telah meningkat daripada enam daerah kepada 11 daerah dari 28 Februari hingga 14 Mac.

Kesemua sebelas daerah terbabit termasuklah empat di Kedah, masing-masing dua di Pahang dan Perak dan selebihnya di Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Tambahnya lagi, dalam tempoh masa yang sama juga, turut berlaku pengurangan zon merah iaitu daripada 42 daerah kepada 35 daerah di Semenanjung serta peningkatan zon kuning daripada 31 daerah kepada 37 daerah.

 

Sumber: Bernama