Kes Omicron Tempatan Di Sarawak Disyaki Libatkan Seorang Warga China

Sarawak mencatatkan satu kes tempatan COVID-19 varian Omicron pada 24 Disember lalu.

kes omicron tempatan di sarawak disyaki libatkan seorang warga china

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, kes terbabit melibatkan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun.

“Kes telah menjalani ujian COVID-19 pada 18 Disember kerana mengalami demam dan batuk sejak 13 Disember.

“Keputusan sampel didapati positif COVID-19 dan kes telah dimasukkan ke PKRC di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Disember,” katanya.

Lanjut Khairy, “Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tiga tahun ini.

“Punca jangkitan masih belum dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching. Kes juga telah lengkap vaksinasi dan keadaannya stabil.”

Dalam pada itu, seramai dua kontak telah dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial.

Kedua-dua kontak terbabit telah diberi arahan untuk menjalani kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi mereka adalah negatif.

 

Sumber: [1]