Masalah bisul boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Terdapat dua jenis bisul, iaitu bisul dengan mata dan bisul tanpa mata. Keduanya merupakan benjolan yang terjadi akibat jangkitan bakteria yang dikenali sebagai bakteria staphylococcal.
Bisul boleh terjadi pada banyak bahagian badan seperti muka, ketiak, punggung dan paha. Anda mungkin boleh mempunyai lebih daripada satu bisul pada satu masa, dan kebiasannya bisul bukanlah satu keadaan yang serius, malah ia boleh dirawat.
Ada beberapa sebab yang mendorong terjadinya bisul seperti kurang menjaga kebersihan diri, alahan, sistem imuniti badan yang lemah, kurang zat makanan, pesakit diabetes dan lain-lain bergantung kepada tempat terjadinya bisul berkenaan.
.
Misalnya, bisul yang terjadi pada bahagian bawah lengan atau ketiak boleh disebabkan berpeluh yang berlebihan, kerap mencukur yang membuatkan permukaan kulit ‘dibuka’, serta jarang mencuci kawasan bawah lengan.
Selain itu, kawasan paha merupakan tempat paling biasa untuk terbentuknya bisul kerana kulit pada kawasan ini sering bergeseran dan berpeluh, terutama dengan cuaca panas di Malaysia. Ia mendorong bakteria tumbuh dalam folikel rambut/bulu, yang menyebabkan terjadinya bisul. Malah, berat badan yang berlebihan juga dikatakan boleh meningkatkan risiko mendapat bisul pada kawasan ini.
.
Bisul biasanya sembuh dalam tempoh satu atau dua minggu dengan sendirinya, namun bagi kes yang parah, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dari pakar. Ingat, jangan sesekali picit, cucuk atau potong sendiri bisul kerana ia akan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.
Sumber: Hello Doktor