Kenapa Ni Sumareh?

kenapa ni sumareh?

Ada cerita tak best yang kita dengar daripada pasukan Pahang. Ketua jurulatih, Dollah Salleh sebelum ini maklumkan yang penyerangnya, Mohamadou Sumareh tidak hadiri sesi latihan berpasukan sejak sebulan lalu. Sumareh turut terlepas aksi Liga Super ketika skuad Tok Gajah kalah 2-3 kepada JDT di Stadium Darul Makmur, Jumaat lepas. Harap-harap peminat Pahang semua sabar la dengan berita ni ye.

Dalam kita semua tertanya-tanya dan mencari jawapan, lebih banyak persoalan yang timbul. Sebab pengurus pasukan Pahang, Datuk Suffian Awang pula sifatkan tindakan Sumareh sebagai tidak profesional kerana meninggalkan pasukan tanpa sebarang khabar berita. Kalau korang nak tahu, penyerang naturalisasi negara ini dah tandatangani kontrak untuk kekal bersama Pahang sehingga tahun 2022. FA Pahang juga akan berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi untuk tentukan tindakan disiplin yang boleh diambil ke atas Sumareh.

Selepas itu, Sumareh buat permohonan maaf kepada peminat Pahang menerusi akaun Instagramnya. Penyerang kelahiran Gambia itu kesal dengan semua yang terjadi dan akui tidak berniat untuk membuat peminat Pahang berkecil hati. Tapi Sumareh beri bayangan ada sesuatu yang berlaku dan berharap masa akan menentukan segalanya. Macam lagu Jamal Abdillah lah pulak, "takdir penentu segala".

Tapi apa yang menyebabkan Sumareh terus hilang tanpa berita ni? Menurut laporan Stadium Astro, Sumareh telah pun meninggalkan pasukan Pahang kerana tidak dibayar gaji mengikut tarikh yang ditetapkan. Sebabnya...

'Berdasarkan klausa 8.7 yang terkandung dalam kontrak pemain, memperuntukkan kontrak seseorang pemain itu boleh ditamatkan tanpa sebarang kesan, sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan sukan, sekiranya pemain tidak menerima gaji mereka lebih daripada sekali. Pemain harus menulis surat kepada setiausaha atau pengurus pasukan bagi menyatakan niat untuk menamatkan kontrak.'

Nak dijadikan cerita, Sumareh sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke JDT. Tapi baru-baru ini, dia macam beri bayangan yang akan sertai Selangor. Pandai betul ajak orang main teka-teki Sumareh ni.

Apa pun, diharapkan kemelut ini boleh diselesaikan secepat mungkin dan segala persoalan akan terjawab. Korang nak Sumareh kekal bersama Pahang atau berhijrah?

Oleh : Karami Kamel

 

ARTIKEL BERKAITAN