Suatu masa dahulu, individu yang berkaca mata sering kali dikaitkan dengan seseorang yang ‘nerd’, mungkin kerana kesan daripada asyik membaca buku yang menyebabkan rabun.
Namun kini berkaca mata bukan semestinya mereka yang suka membaca buku 24 jam, sebaliknya ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.
Disebabkan sterotaip individu yang berkaca mata ini dilabel sebagai nerd, seorang remaja berusia 13 tahun kini berkempen bagi menyeru lebih banyak emoji yang berkaca mata dihasilkan.
Lowri Moore dari United Kingdom sebelum ini pernah menulis surat kepada Disney meminta agar mewujudkan watak utama yang berkaca mata. Disebabkan itu, Disney menghasilkan watak Mirabel Madrigal menerusi filem animasi Encanto.
Hasil kejayaan itu, beliau kini berkempen dan menulis kepada sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam penerbitan emoji agar lebih banyak emoji berkaca mata diwujudkan dan tidak sekadar emoji yang membawa maksud nerd.
Ketika ini, hanya ada tiga emoji yang bercermin mata iaitu emoji nerd, emoji nenek dan emoji guru.
"Malangnya, satu-satunya emoji yang memakai cermin mata ialah wajah nerd. Seperti yang saya pasti anda tahu, orang yang memakai cermin mata bukanlah 'nerd'.
"Tetapi melainkan jika kita menangani perkara ini, ada kemungkinan generasi akan datang akan membesar dengan mempercayai mereka adalah nerd," ujarnya.
Sumber: Astro AWANI