Kembara Terbaru Tony Fernandes, Tampil Sisi Berbeza Sebagai Podcaster

Siapa sahaja yang tidak mengenali gerangan hebat yang bernama Tan Sri Tony Fernandes ini?

kembara terbaru tony fernandes, tampil sisi berbeza sebagai podcaster

Sering kali, nama beliau begitu sinonim sebagai tulang belakang utama syarikat penerbangan AirAsia yang diasaskan beliau sejak hampir 20 tahun lalu itu.

Kisah kejayaannya juga, malahan menjadi inspirasi ramai untuk terus mengorak langkah dalam mencapai hasrat yang diimpikan mereka.

Akui bahawa dirinya suka untuk mencuba sesuatu yang baru dalam kehidupannya, Tan Sri Tony Fernandes, bakal memperlihatkan sisi terbaru beliau menerusi audio siar (podcast) berjudul Talks with Tony, bermula 1 Ogos ini.

Barang kali, anda mengandaikan bahawa podcast tersebut akan mengupas pelbagai cerita yang lebih mendalam mengenai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group ini. Namun, ternyata tidak, kerana buat julung kalinya, Tan Sri Tony Fernandes tampil sebagai hos audio siar tersebut, yang mana beliau sendiri yang mengupas cerita-cerita inspirasi dari beberapa rakan ternamanya yang berasal dari seluruh pelosok dunia.

“Seperti yang anda ketahui, saya sering berkongsi pandangan saya di media sosial, dan audio siar ini adalah cara baharu untuk saya berhubung dengan orang ramai. Apa yang paling penting adalah saya ingin berkongsi pengalaman dan pandangan saya bukan sahaja bersama-sama rakan-rakan yang telah berjaya di dalam bidang mereka, malah rakan sekerja dan mereka yang paling rapat dengan saya dan berharap dapat memberikan nilai tambah dalam kehidupan para pendengar.

“Saya juga ingin memberi peluang kepada para pendengar untuk menimba serba sedikit pengetahuan dan pengalaman daripada cerita saya dan rakan-rakan dalam pelbagai aspek termasuklah dalam mencapai kejayaan, menangani kegagalan, dan juga cabaran semasa dalam mengharungi COVID-19. Rakan-rakan yang turut serta dalam audio siar ini termasuklah mereka daripada industri perniagaan, sukan dan muzik yang merupakan sebahagian besar daripada kehidupan saya, selain tokoh dan usahawan terkemuka,” kata beliau.

Talks with Tony akan bersiaran sebanyak lapan episod.

Luah salah seorang tetamu jemputan Tony, David Foster, iaitu penerbit dan komposer: “Tony sememangnya mudah didekati dan disenangi. Jadi saya tidak hairan jika audio siar beliau akan bertahan selama bertahun-tahun akan datang dengan memaparkan tetamu yang menarik. Saya berbesar hati kerana menjadi salah seorang daripada tetamunya.”

Antara tetamu termuka lain yang akan turut melakukan penampilan dalam Talks with Tony termasuklah anggota Black Eyed Peas, iaitu will.i.am,  dan Presiden Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White.

Jadi yang pertama untuk mendengar Talks with Tony dengan mengakses aplikasi SYOK mulai 1 Ogos ini.

Selain itu, podcast terbabit juga boleh didengarkan di laman web rasmi talkswithtony.co dari 2 Ogos dan platform audio siar lain seperti Spotify, Google and Apple dari 8 Ogos.