Kelantan & Terengganu Diberi Amaran Awal, Dijangka Banjir Khamis & Jumaat Ini

Beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu dijangka berlaku banjir dari 30 hingga 31 Disember ini setelah model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengutarakan kemungkinan tersebut.

kelantan & terengganu diberi amaran awal, dijangka banjir khamis & jumaat ini

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan JPS, ia memaklumkan kemungkinan itu dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Disember hingga hujung tahun 2021.

Lanjut kenyataan sama, risiko banjir diramal di Kelantan antara pukul 8 malam (30 Disember) dan 8 pagi keesokan harinya melibatkan jajahan Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan sekitarnya berikutan jangkaan kenaikan aras air melepasi aras bahaya di Sungai Galas di Limau Kasturi dan Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Sementara itu, ramalan risiko berkenaan turut melibatkan daerah Dungun dan kawasan sekitarnya di Terengganu ekoran aras air di Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga dijangka naik melepasi aras bahaya.

JPS mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dari masa ke masa.

 

Sumber: [1]