Seekor anjing dipukul hingga mati di jalanan di Shanghai akibat bimbang ia boleh menyebarkan Covid, dalam satu lagi pembunuhan haiwan peliharaan berkaitan pandemik yang telah mencetuskan kemarahan di China.
Dalam video dan foto yang dikongsi secara meluas di media sosial, haiwan itu mengejar sebuah van sebelum dibunuh oleh seorang lelaki berpakaian PPE lengkap dengan menggunakan penyodok.
Lelaki itu pada asalnya dipercayai merupakan pekerja pencegahan wabak, namun dia kemudian dikenal pasti sebagai pengawal pintu yang bekerja di kawasan kediaman di Kawasan Baru Pudong, tempat di mana pemilik haiwan itu tinggal, menurut Radio Free Asia.
Menurut media terbabit, pengawal tersebut berkata dia membunuh anjing malang itu kerana bimbang ia boleh menyebarkan Covid, kerana pemiliknya telah diuji positif.
“Kami tidak memikirkan perkara ini secara menyeluruh,” kata wakil jawatankuasa kejiranan yang tidak dinamakan sebelum menambah bahawa pampasan akan dibayar kepada pemilik.
Memetik South China Morning Post, pemilik anjing itu telah diuji positif Covid dan sedang dibawa ke pusat kuarantin di dalam van.
Dia memutuskan untuk membiarkan anjing peliharaannya berkeliaran bebas kerana bimbang ia mungkin kelaparan jika ditinggalkan di rumah.
Anjing itu mengejar pemiliknya untuk seketika, tetapi apabila van itu beredar, pengawal yang bertugas pada ketika itu mengambil penyodol dan memukul anjing tersebut sebanyak tiga kali sebelum membunuhnya serta-merta.
Insiden itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai di bandar tersebut sudah pun berang akibat tidak boleh meninggalkan rumah mereka bagi membeli barangan runcit.
“Lelaki itu adalah raksasa. Dia mahu melawan Covid, tetapi siapa yang memberinya hak untuk membunuh nyawa yang tidak bersalah?” tulis seorang pengguna Weibo.
Ini juga bukan kali pertama haiwan peliharaan dibunuh kerana ketakutan Covid.
Bulan lalu, seekor anjing peliharaan bernama Snowball telah dipukul dengan kejam menggunakan kayu oleh pekerja COVID-19 berpakaian PPE di bandar Huizhou di wilayah Guangdong.
Pada November tahun lalu, seorang wanita di bandar Shangrao di wilayah Jiangxi pula berkata pekerja bandar memasuki rumahnya dan memukul anjingnya hingga mati.
Sumber: [1]