Bagaikan ‘syurga’ untuk pencinta kucing dan buku, sebuah kedai buku di Perancis ini bukan sahaja menempatkan pelbagai koleksi bahan bacaan malahan juga menjadi ‘rumah teduhan’ untuk enam ekor sang bulu.
Mon Chat Pitre membuka pintunya pada Jun tahun lalu dan menjadi tarikan tempatan di Aix-en-Provence terutamanya dalam kalangan pencinta kucing.
Bayangkan, dalam keasyikan anda sedang mencari bahan bacaan di situ, pengunjung berpeluang untuk membelai enam ekor kucing yang juga menyukai perhatian orang ramai.
Diasaskan oleh sepasang wartawan televisyen, iaitu Solène Chavanne dan Jean-Philippe Doux, kedai itu direka untuk menjadi tempat yang mana para ulat buku boleh datang memilih buku mereka yang seterusnya sambil mendapatkan suasana yang baik dan menceriakan hari mereka dengan adanya enam ekor sang bulu itu.
Walaupun ia baru sahaja dibuka kurang dari lima bulan, kedai buku itu telah menjadi destinasi kegemaran pencinta kucing di kawasan tersebut dan sering menjadi tajuk utama berita nasional.
Adakalanya, pengunjung hanya akan datang ke situ untuk berinteraksi dengan kucing-kucing yang mendengkur, yang menyukai perhatian.
Tidak ketinggalan, kesemua kucing itu juga mempunyai tempat yang dikhususkan untuk mereka sahaja yang tersedia dengan bekas tandas mereka, katil dan makanan.
Jika anda berada di Aix-en-Province dan ingin melawat kedai buku yang unik, pastikan anda singgah di Mon Chat Pitre. Ia terletak di 13 Rue de Montigny, sebuah pusat bandar yang bersejarah.
Sumber: [1]