Tular di media sosial baru-baru ini mengenai tinggalan kubu purba di Sepanyol yang timbul semula selepas ditenggelami air selama ribuan tahun.
Memetik laporan Olive Press, kemarau yang berpanjangan di negara tersebut telah menyebabkan paras air takungan telah surut kepada 49 peratus daripada paras maksimum.
Difahamkan bahawa kubu yang dikenali sebagai Aquis Querquennis itu telah digunakan oleh orang Rom sebagai kubu sementara dan berek tentera semasa mereka membina jalan Via Nova yang bersejarah.
Kem tersebut dilengkapi kuil, rumah sakit dan berek yang dikatakan mampu menempatkan kira-kira 600 askar.
Penduduk Rom mula meninggalkan tapak itu sekitar 120AD namun ia kembali menjadi tumpuan pada 1920-an selepas ahli arkeologi tempatan Florentino Lopez Cuevillas menemui semula penempatan itu dan memulakan penggalian.
Penempatan itu kemudiannya dinaiki air pada 1948 berikutan pembinaan bangunan hidroelektrik di hilir sungai yang termaktub dalam projek pembangunan luar bandar di bawah pemerintahan diktator Francisco Franco.
Dalam pada itu, kemarau yang melanda Sepanyol selama berminggu-minggu lamanya telah menyebabkan paras air dalam takungan negara itu mengering sehingga beberapa bangunan lain seperti sebuah gereja berusia berabad tahun dan bulatan batu prasejarah turut kembali timbul.
Perubahan iklim telah menyebabkan beberapa bahagian di negara itu kini dilaporkan berada pada tahap paling kering dalam tempoh lebih 1,000 tahun dengan hujan musim sejuk dijangka semakin berkurangan, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Geoscience pada bulan Julai lalu.
Sumber: DailyMail