Kadar Pengangguran Meningkat, Lebih 700,000 Penduduk Malaysia Dilaporkan Tiada Kerja

Kadar pengangguran di Malaysia dilaporkan telah meningkat kepada 4.8% pada Jun 2021 dan melibatkan 768,700 rakyat yang kini menganggur.

kadar pengangguran meningkat, lebih 700,000 penduduk malaysia dilaporkan tiada kerja

Lima negeri yang mencatatkan kadar pengangguran tertinggi pada suku kedua 2021 adalah Labuan dengan 8.8%, diikuti Sabah (8.7%), Perlis (5.3%), Kelantan (4.8%) dan Selangor (4.4%).

Data tersebut diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi Statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Jun dan suku kedua tahun 2021.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, kadar pengangguran bagi Mei 2021 adalah 4.5% dan melibatkan sejumlah 728,100 orang.

Jelasnya, dalam keadaan yang mana negara terus berusaha bagi meredakan lonjakan kes COVID-19, angkatan tenaga buruh menghadapi situasi mencabar sekitar Jun berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh yang mana hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi.

“Oleh itu, jumlah pekerja yang bekerja pada Jun 2021 menurun sebanyak 0.5% kepada 15.3 juta orang (berbanding 15.37 juta pada Mei 2021) dengan nisbah pekerjaan-ke-penduduk turun 0.4 mata peratusan kepada 65%,” katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, beliau turut menjelaskan beberapa tengah kerja telah bergerak menjadi tidak aktif sekali gus menyebabkan penurunan menjadi 16.07 juta orang berbanding 16.1 juta orang pada bulan sebelumnya, dan ini merupakan penurunan pertama yang dicatatkan sejak April 2020.

Sementara itu, individu yang bekerja sendiri merekodkan penambahan 4,100 orang kepada 2.5 juta orang berbanding Mei 2021 (2.49 juta orang).

Mengulas mengenai kadar pengangguran bagi Jun 2021, Mohd Uzir berkata, pengangguran aktif yang merangkumi 83.6% daripada jumlah pengangguran, mencatat peningkatan 33,000 orang kepada 642,900 berbanding 609,900 orang pada Mei.

“Mereka yang menganggur kurang dari tiga bulan menyumbang 52.3% dari pengangguran aktif sementara 9.8% adalah mereka yang menganggur jangka masa panjang lebih dari satu tahun,” katanya.

Menyentuh berkenaan prestasi keseluruhan untuk suku kedua 2021, terang Mohd Uzir, jumlah tenaga kerja berkurang sebanyak 36,100 orang kepada 15.97 juta orang kerana kedua-dua pekerja dan penganggur menurun.

Tambahnya, kadar pengangguran untuk suku kedua adalah 4.8% yang bersamaan dengan 764,900 orang.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN