Juruterbang Jatuh Sakit, Penumpang Tanpa Pengalaman Tolong Daratkan Kapal Terbang!

Seorang penumpang tanpa pengalaman menerbangkan pesawat berjaya mendaratkan kenderaan udara itu di lapangan terbang Florida selepas juruterbang pesawat terbabit diisytiharkan tidak sihat oleh pasukan perubatan kecemasan.

juruterbang jatuh sakit, penumpang tanpa pengalaman tolong daratkan kapal terbang!

Penumpang itu, yang mengendalikan enjin tunggal Cessna 208, bergantung pada kawalan trafik udara untuk melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach, kira-kira 68 batu (110 kilometer) utara Miami, lapor AFP yang memetik saluran berita NBC.

Menurut saluran berita itu, pegawai di Fort Pierce, utara Palm Beach telah menerima panggilan kecemasan sekitar tengah hari pada hari Selasa daripada penumpang, mengatakan, “Saya mengalami situasi yang serius di sini.”

“Juruterbang saya tidak sihat. Saya tidak tahu bagaimana untuk menerbangkan kapal terbang.”

Ditanya kedudukannya, penumpang itu berkata, dia tidak tahu di mana dia berada tetapi dia dapat melihat pantai Florida.

“Kekalkan paras sayap dan cuba ikuti pantai, sama ada ke utara atau selatan,” pegawai trafik udara memberitahunya, memberi jaminan bahawa mereka cuba mencarinya.

Pengawal trafik udara Robert Morgan berkata pengalamannya sebagai pengajar penerbangan membantunya membimbing penumpang tersebut, yang tidak didedahkan identitinya, semasa dia mendaratkan pesawat.

Morgan berkata dia berasa seperti ingin menangis selepas kejadian itu, sambil menambah bahawa penumpang itu memeluknya dan berterima kasih kepadanya kerana membantu dia kembali dengan selamat kepada isterinya yang sedang hamil.

Sementara itu, juruterbang pesawat itu telah dikejarkan ke hospital sebaik sahaja pesawat tersebut mendarat, menurut Palm Beach Fire Rescue.

 

Sumber: [1]