JPJ Demonstrasi Proses Kelulusan Jenis Kenderaan dan Homologasi dengan BMW iX xDrive40i Sulung

Untuk pertama kali, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membentangkan proses VTA dan homologasi kenderaan kepada media dengan menggunakan BMW iX xDrive40i sulung.

jpj demonstrasi proses kelulusan jenis kenderaan dan homologasi dengan bmw ix xdrive40i sulung

Demonstrasi media itu telah menyingkap prosedur pemeriksaan dan penilaian yang digunakan secara rasmi oleh JPJ untuk memastikan sesebuah kenderaan mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan Pengangkutan Jalan di Malaysia sebelum pendaftaran kenderaan tersebut dibenarkan.

Dato’ Zailani Hj Hashim selaku Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan berkata, “Sebagai badan berkuasa yang bertanggungjawab untuk menjalankan penilaian, ujian dan kelulusan kenderaan di Malaysia, prosedur VTA adalah diwajibkan bagi semua kenderaan sebelum ia dibenarkan untuk menyusuri jalan raya Malaysia.

“Saya berharap penglibatan media serta publisiti yang diberikan ke atas demonstrasi hari ini dapat membekalkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan dan fungsi Jabatan Kejuruteraan Automotif, JPJ serta prosedur VTA, yang turut menggambarkan peranan kerajaan dan JPJ untuk menjamin tahap keselamatan yang optimum bagi pengguna jalan raya di dalam negara.”

Sementara itu, Hans de Visser sebagai Pengarah Urusan BMW Group Malaysia turut meluahkan rasa besar hati beliau, katanya, “Kami berbesar hati kerana JPJ telah mempertimbangkan kami di BMW Malaysia sebagai rakan kongsi bagi pendemonstrasian proses VTA dan homologasi kenderaan di Malaysia.

“Khususnya kami juga berbesar hati kerana JPJ mengambil peluang untuk mendemonstrasikan proses tersebut menggunakan Kenderaan Elektrik – BMW iX xDriver40i – SAV elektrik tulen kami yang akan diperkenalkan di Malaysia bersama barisan kenderaan BMW i generasi baharu yang lain pada tahun hadapan.

“Ketibaan jentera BMW i terbaharu ini merupakan sebahagian daripada strategi elektrifikasi kami yang akan melengkapi matlamat mobiliti elektro Malaysia untuk tahun 2022, khususnya setelah insentif cukai dan polisi baharu bagi pembuat dan pemilik kenderaan elektrik diperkenalkan pada tahun hadapan.”

Acara tersebut turut dihadiri YBrs. Tuan Aedy Fadly Ramli, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi); YBhg. Dato’ Zailani Hj Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan; Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia;  Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat di BMW Group Malaysia; dan Tuan Ir. Mohd Yusop Mohamad, Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif.