Inside Scoop Kembali Dengan Aiskrim ‘Lokal Legends’, Ada Twiggies, Popcorn dan Spanish Latte!

Merdeka kali ini terasa lebih manis dengan kejutan istimewa daripada Inside Scoop. Jenama aiskrim tempatan kegemaran ramai ini kembali dengan koleksi ‘Lokal Legends’ edisi kedua, hasil kolaborasi bersama enam nama besar Malaysia iaitu Gardenia, Julie’s, GSC, Beryl’s, ZUS Coffee dan Farm Fresh.

inside scoop kembali dengan aiskrim ‘lokal legends’, ada twiggies, popcorn dan spanish latte!

Setiap jenama membawa perisa edisi terhad yang penuh nostalgia dan cukup dekat di hati rakyat Malaysia. Gardenia tampil dengan Twiggies Choc-A-Lot, iaitu aiskrim coklat susu bersama potongan kek Twiggies yang ikonik. Dari dunia pawagam pula, GSC hadir dengan Caramel Popcorn, gabungan aiskrim bertih jagung karamel dan kacang pecan rangup yang mengimbau suasana menonton wayang. Julie’s menambah sentuhan segar dengan Le-mond Lemon, campuran aiskrim susu, lemon curd dan biskut sandwic Le-mond yang rangup.

Beryl’s mengetengahkan Gula Melaka Chocolate, kombinasi coklat dan gula melaka dengan taburan biskut mentega yang mewah. ZUS Coffee pula menampilkan inspirasi menu kafe popular mereka dengan Spanish Latté, iaitu aiskrim berperisa espreso pekat bersama susu pekat manis dan kon coklat rangup. Akhir sekali, Farm Fresh menghidupkan semula memori minuman malt coklat dengan Choco Malt Kaw, versi ekstra pekat lengkap dengan sos coklat dan biji malt rangup.

inside scoop kembali dengan aiskrim ‘lokal legends’, ada twiggies, popcorn dan spanish latte!

Menurut pengasas bersama Inside Scoop, Edmund Tan, koleksi kali ini diibaratkan sebagai “surat cinta” kepada rakyat Malaysia kerana setiap jenama yang terlibat sudah sebati dengan kehidupan seharian kita. Dari snek di pawagam hinggalah minuman kopi kegemaran, semuanya diolah semula menjadi pengalaman aiskrim yang unik.

Bagi yang mahu menikmati kesemua perisa, Inside Scoop turut memperkenalkan Lokal Legends Party Pack edisi terhad berharga RM68 yang menghimpunkan keenam-enam pilihan dalam satu set. Koleksi ‘Lokal Legends’ 2025 boleh didapati di semua cawangan Inside Scoop seluruh negara bermula 18 Ogos hingga 21 September 2025.