Penyatuan Tradisi dan Inovasi Langkah Baru Pos Malaysia Landskap Peruncitan Dengan Pelancaran Pos Shop Ke-36

Pos Malaysia Berhad ("Pos Malaysia"), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, pada hari ini telah meraikan pembukaan Pos Shop ke-36 di seluruh negara, ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan transformasi peruncitan kami. Pelancaran itu, yang bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, telah disempurnakan oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi. 

“Hari ini menandakan satu lonjakan yang mengujakan dalam misi kami untuk merevolusikan perkhidmatan pos dalam era digital. Kami sangat teruja dengan pelancaran Pos Shop Pudu yang melambangkan dedikasi kami untuk memperbaharui pengalaman pelanggan. Sejak melancarkan Pos Shop pertama di Jalan Medan Tuanku pada Mei 2023, kami telah menyaksikan peningkatan purata sebanyak 34% dengan jumlah pengunjung di pejabat pos yang berkaitan. Kejayaan ini membuktikan konsep peruncitan inovatif kami yang menggabungkan perkhidmatan pos tradisional dengan kemudahan moden,” kata Fiona Liao, Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia. 

Pos Shop baharu memperkenalkan konsep ‘Shop in Shop’ yang inovatif ke pasaran, mewakili perubahan besar dari model tradisional. Walaupun Pos Shop asal diintegrasikan dalam pejabat pos, reka bentuk inovatif ini menempatkan pejabat pos di dalam Pos Shop, menawarkan pengalaman runcit yang segar dan kontemporari. Evolusi ini mencerminkan komitmen Pos Malaysia untuk menyediakan penyelesaian sehenti bagi komuniti setempat, dengan bijak menggabungkan perkhidmatan pos dan bungkusan dengan ruang runcit yang menyediakan keperluan harian dalam suasana membeli-belah yang selesa. 

penyatuan tradisi dan inovasi langkah baru pos malaysia landskap peruncitan dengan pelancaran pos shop ke-36

Berkeluasan lebih 900 kaki persegi, Pos Shop Pudu menawarkan pelbagai pilihan untuk pelanggan, termasuk Pos Kafe yang popular dengan pelbagai pilihan makanan termasuk kopi, minuman, dan makanan segera. Kedai ini juga menjual barangan keperluan harian, produk penjagaan diri, dan isi rumah, yang benar-benar mewujudkan penyelesaian sehenti untuk komuniti setempat. 

Pelanggan juga boleh menambah nilai sevis perkhidmatan peranti mudah alih mereka dengan mudah dan membuat pembayaran bil di Pos Shop. Untuk meraikan pembukaan, pelangaan boleh menikmati promosi eksklusif Beli-1-Percuma-1 untuk Pos Sundaes, sementara stok masih ada. Selain itu, sebagai sebahagian daripada promosi #SapotLokal, diskaun sebanyak 16% untuk produk terpilih buatan Malaysia boleh didapati sehingga 30 September. 

Inisiatif Pos Shop merupakan komponen penting dalam pelan transformasi Pos Malaysia yang lebih luas. Liao menerangkan, “Dengan pelancaran Pos Shop ke-36, kami sangat teruja untuk terus menginovasi ruang kami dan memperhalusi penawaran produk kami untuk selaras dengan permintaan pasaran, sambil menyediakan penyelesaian sehenti yang komprehensif untuk pengeposan dan mendapatkan keperluan mudah. 

Dengan menyediakan peluang kepada PKS tempatan untuk mempamerkan dan menjual produk mereka melalui konsainan atau penyenaraian langsung, Pos Malaysia secara aktif memacu pertumbuhan ekonomi dan memenuhi keperluan komuniti. “Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan pembangunan ekonomi tetapi juga menyokong keperluan komuniti kami, mewujudkan situasi sama menang untuk Pos Malaysia, perniagaan tempatan, dan pelanggan kami,” tambah Liao. 

YB Teo Nie Ching memuji inisiatif Pos Malaysia: “Dengan membangunkan bahagian runcitnya dan menyokong usahawan tempatan dalam industri kecil & sederhana melalui jualan produk di Pos Shop, Pos Malaysia bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelanggan dan memenuhi keperluan komuniti, tetapi juga memberikan sumbangan yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti negara.”  

Melangkah ke hadapan, Pos Malaysia merancang untuk mempercepatkan pengembangannya, dengan sasaran untuk menubuhkan lagi 14 cawangan Pos Shop di negeri-negeri utama menjelang akhir 2024, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 50 buah kedai di seluruh Malaysia. Strategi pertumbuhan yang agresif ini menekankan komitmen syarikat untuk meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan bagi komuniti di seluruh Malaysia. 

Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan, YB Teo Nie Ching telah mengagihkan bendera Malaysia kepada pelanggan di acara tersebut, menonjolkan peranan Pos Malaysia dalam memupuk perpaduan negara. Syarikat itu juga akan melancarkan koleksi setem edisi khas “Hari Malaysia”, yang boleh didapati di semua 90 Biro Filateli di seluruh negara, termasuk 13 Pejabat Pos Besar bermula 16 September, untuk mengukuhkan lagi hubungan antara perkhidmatannya dan warisan nasional. 

Seiring dengan evolusi Pos Malaysia, syarikat ini tetap komited untuk membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang. Inisiatif Pos Shop bukan sahaja mengubah cara syarikat beroperasi dalam perniagaan runcit, tetapi juga memberi nafas baru kepada pejabat pos dengan menjadikan sebahagian ruangnya sebagai kedai runcit serba guna. Ini memastikan Pos Malaysia kekal relevan dalam era digital. Dengan peralihan daripada pusat perkhidmatan yang konvensional kepada hab moden yang menggabungkan perkhidmatan pos dan pengalaman runcit, Pos Malaysia terus memenuhi keperluan pengguna dan menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik pasaran.