Tahun 2020, negara Finland sekali lagi dinobatkan sebagai negara paling bahagia di dunia menerusi Laporan Kebahagiaan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Namun, apakah sebenarnya faktor yang membuatkan negara itu menjadi negara paling bahagia di dunia?
Berikut merupakan antara faktor penyumbang terhadap kebahagiaan penduduk negara Finland:
-
Prinsip ‘sisu’ yang diamalkan Finland.
Negara Finland mengamalkan falsafah ‘sisu’. Secara kasarnya, ‘sisu’ boleh diterjemahkan sebagai ‘ketabahan yang tabah’ dalam Bahasa Melayu. Sebagai sebuah negara, Finland menerapkan prinsip ini menerusi pelbagai cara.
Salah satu pendekatan yang berjaya diambil Finland adalah dengan penamatan penularan gelandangan. Finland merupakan sebuah negara yang sangat mengutamakan golongan gelandangan dengan amalan prinsip ‘utamakan perumahan’.
Finland mengenal pasti golongan gelandangan dan memberikan golongan terbabit sokongan yang tepat untuk mereka, dengan tujuan agar mereka berjaya memiliki rumah sendiri pada akhirnya. Menariknya, negara terbabit juga mempunyai kadar gelandangan yang terendah di peringkat global.
-
Kesaksamaan gender yang dititikberatkan.
Finland turut mengutamakan kesaksamaan gender. Sebenarnya, Finland juga merupakan satu-satunya negara dalam dunia maju yang mana para ayah menghabiskan masa lebih banyak dengan anak-anak yang berada di usia persekolahan mereka berbanding dengan para ibu!
-
Kadar rasuah yang rendah.
Finland mempunyai manfaat kesejahteraan yang luas. Misalnya, tahap rasuah yang rendah, demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan rasa kebebasan serta kemerdekaan yang dirasai dalam kalangan penduduk negara tersebut.
Selain itu, percukaian progresif dan pengagihan kekayaan di negara itu juga telah memungkinkan sistem kesihatan sejagat yang terus berkembang maju dan terkemuka di dunia.
-
Amalan struktur organisasi rata.
Finland merupakan antara negara pertama yang mempelopori struktur organisasi rata atau juga dikenali sebagai flat organizational structure.
Buat mereka yang tidak mengetahui apa itu struktur organisasi rata, ia merupakan satu struktur yang mempunyai tahap pengurusan menengah (middle management) yang lebih sedikit dan dengan itu rantaian arahan yang pendek. Struktur rata membolehkan para pekerja untuk memahami tanggungjawab mereka selain mempunyai autonomi yang lebih besar.
Pendekatan yang bertujuan memperkasakan pekerja ini terbukti telah membuahkan hasil terhadap Finland selama lebih daripada satu dekad. Bahkan, idea tersebut juga terbukti berkesan dalam meningkatkan semangat bersatu padu dalam pasukan dan produktiviti di tempat kerja.
Sememangnya, kebahagiaan yang diperoleh daripada keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan memainkan peranan yang besar dalam kehidupan seseorang manusia!
Sumber: Happy Or Not