Indonesia Bersedia Untuk Jadi Tuan Rumah Sukan Olimpik 2036

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengatakan bahawa negara itu sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036 di Ibu Kota Nusantara (IKN).Pengumuman itu dikeluarkan di Bali dan disampaikan sendiri oleh Jokowi dalam satu kenyataan semalam. 

"Dalam kesempatan ini, saya menyampaikan kesediaan dan kesiapan Indonesia sebagai tuan rumah Olimpik 2036 di Ibu Kota Nusantara," kata Jokowi.

Laporan media mengatakan, sebagai Ketua G20 2022, Jokowi bersama para pemimpin G20 berkata betapa pentingnya olahraga dalam kehidupan seharian selain daripada ia boleh menyatukan masyarakat dunia.

Selain itu, untuk edisi yang akan datang, kejohanan sukan antarabangsa Olimpik dan Paralimpik akan diadakan di Paris, Perancis pada 2024.

Pentadbiran Jokowi akan memindahkan ibu kota negara itu dari Jakarta ke Nusantara yang terletak di Kalimantan Timur.

Pembinaan IKN dijangka mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun untuk disiapkan sejajar dengan Visi Indonesia 2045.

Sumber: AWANI