Indonesia Rasmi Stadium Baru Bertaraf 'International', Atap Boleh Buka Tutup!

Baru-baru, Indonesia telah merasmikan stadium terbarunya iaitu Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) yang dilaporkan mempunyai pelbagai ciri bertaraf dunia.

Sekadar perkongsian, stadium ini telah mula dibina pada 14 Mac 2019 dan menelas kos perbelanjaan sehingga RM 1 bilion. Berikut merupakan lima fakta mengenai stadium JIS yang dikatakan bertaraf antarabangsa ini!

indonesia rasmi stadium baru bertaraf 'international', atap boleh buka tutup!

1. Bumbung stadium boleh dibuka dan ditutup

Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) mempunyai bumbung yang boleh dibuka dan ditutup. Ciri tersebut hanya terdapat pada beberapa stadium lain dari serata dunia. Salah satunya termasuk Stadium Mercedes-Benz yang terletak di Atlanta, Amerika Syarikat. 

Bumbung yang boleh dibuka dan ditutup menjadikannya sangat sesuai untuk mengadakan konsert. Dalam acara perasmian baru-baru, nama-nama besar seperti Dewa 19 dan Kotak juga berkesempatan mengadakan persembahan di stadium terbabit.

2. Padang menggunakan rumput hibrid

Rumput stadium ini menggunakan rumput hibrid yang menggabungkan rumput asli dan sintetik. Selain itu, JIS juga bakal mempunyai restoran, bilik VIP dan bilik persalinan mewah selain ciri lainnya yang mesra orang kurang upaya.

3. Kapasiti besar 

JIS mempunyai kapasiti 82,000 penonton dan merupakan jenis stadium bola sepak moden. Bagaimanapun, ia tidak mempunyai trek olahraga. Stadium yang terletak di Jakarta Utara itu dilaporkan mempunyai platform tiga peringkat iaitu platform bawah, platform tengah dan platform atas.

4. Kos pembangunan yang tinggi

Dianggarkan pembinaan JIS menelan kos sehingga Rp 5 trilion (RM1,485,158,500). Dengan kos yang begitu besar, tidak hairanlah bangunan JIS ini begitu megah lantas membuatkan ia menjadi pengganti kepada Stadium Lebak Bulus yang digunakan sebelum ini.

5. Lapangan yang mempunyai standard antarabangsa

Stadium ini mempunyai dua lapangan bertaraf antarabangsa yang juga boleh disewakan kepada orang ramai dengan kos bermula Rp 2 juta (RM 594).


Sumber: detik