Indonesia Kurangkan Tempoh Kuarantin Pelancong Jadi 3 Hari

Kerajaan Indonesia memutuskan untuk mengurangkan tempoh kuarantin wajib kepada pengembara antarabangsa, rakyat Indonesia dan warga asing kepada tiga hari.

indonesia kurangkan tempoh kuarantin pelancong jadi 3 hari

Terdahulu, tempoh kuarantin di negara tersebut ditetapkan pada lima hari.

“Peraturan ini terpakai kepada pengembara antarabangsa yang memenuhi syarat, termasuk lengkap divaksin dan negatif ujian saringan COVID-19 berdasarkan keputusan ujian PCR (ujian Tindak Balas Berantai Polimerase) sebelum berlepas, selepas ketibaan di Indonesia, dan pada hari terakhir kuarantin,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto.

Tambahnya, pada ketika ini, situasi pandemik COVID-19 di Indonesia berada dalam keadaan terkawal berikutan jumlah kes yang terus menunjukkan trend penurunan.

Sementara itu, hanya pelawat dari 19 negara termasuk China, Emiriah Arab Bersatu, New Zealand dan Perancis yang dibenarkan melancong ke Bali setakat ini.

Negara tersebut kini berada dalam fasa pemulihan ekonomi sambil menjangka kemungkinan gelombang ketiga pandemik ketika musim cuti Krismas dan Tahun Baru.

 

Sumber: [1]