Ekoran daripada cuaca panas melampau dan juga gelombang haba yang melanda Pacific Northwest baru-baru ini, spesis ikan salmon yang biasanya hidup dalam air bersuhu sejuk telah ‘direbus hidup-hidup dalam air panas.’
Menurut pemerhatian yang dilakukan oleh kumpulan pemuliharaan, Columbia Riverkeeper pada 16 Julai lalu, sejumlah ikan salmon jenis sockeye di Sungai Little White Salmon mengalami kecederaan pada badan.
Malah, sejumlah kulit ikan itu juga dilihat tercabut dan terkoyak dan muncul kulat putih pada badan ikan itu dipercayai akibat suhu air yang panas dan tidak sesuai dengan persekitaran suhu ikan berkenaan.
Dan Sampson dari Northwest Tribal Salmon Alliance berkata salmon sockeye di Sungai Columbia semakin ‘nazak’ dan banyak juga ikan yang mati.
“Ikan-ikan salmon ini seperti ‘direbus hidup-hidup’ dalam air sungai yang suhunya tinggi,” katanya.
Ketika rakaman video itu dibuat, suhu air tersebut merekodkan bacaan setinggi 21 darjah Celsius dan ia boleh menyebabkan kematian kepada ikan jika terdedah lama dalam suhu tersebut.
Sumber: Utusan