Hubungan persahabatan antara dua pelakon Bollywood masyhur, iaitu Shah Rukh Khan dan Salman Khan sememangnya diketahui ramai.
Kedua-dua mereka mula berkawan rapat selepas membintangi filem blockbuster Karan Arjun pada 1995.
Walaupun persahabatan mereka sering mengalami pasang surutnya yang tersendiri, kes Aryan Khan baru-baru ini bagaimanapun telah membawa mereka dan keluarga masing-masing menjadi semakin rapat lebih dari dulu.
Memetik laporan India Today, Salman Khan dikatakan adalah selebriti pertama yang melawat rumah Shah Rukh Khan selepas penahahan anaknya itu.
Ahli keluarga Salman Khan, iaitu kakak beliau, Alvira Agnihotri dan bapa, Salim Khan turut sama melawat rumah Shah Rukh Khan.
Menurut laporan Bollywood Hungama, krisis tersebut sekaligus telah menyatukan kembali keluarga tersebut, bahkan lebih rapat berbanding dulu.
Sumber rapat turut memberitahu, “Ibu bapa Salman mendoakan agar Aryan pulang. Salman sentiasa memantau Shah Rukh, menelefonnya hampir setiap hari. Jika apa-apa, krisis ini telah membawa Salman dan Shah Rukh menjadi lebih dekat berbanding sebelum ini.”
Terdahulu, sebuah video lama Shah Rukh dari rancangan yang dihoskan Salman Khan, iaitu Dus Ka Dum kembali tular di media sosial.
Dalam video itu, Shah Rukh mengakui Salman akan membantunya dan keluarga setiap kali keluarga mereka mengalami masalah.
Tanya Salman Khan dalam video itu, “Adakah anda mempunyai orang yang bersama anda di kala susah dan senang?”
Jawab Shah Rukh, “Sekiranya saya berada dalam kesusahan, sebenarnya jika keluarga saya berada dalam kesusahan, anda ada di sana.”
Awal Oktober lalu, anak lelaki sulung Shah Rukh, Aryan Khan ditangkap pihak berkuasa dalam satu kes melibatkan dadah.
Proses ikat jaminnya telah ditolak beberapa kali oleh mahkamah.
Sumber: [1]