Kini menjadi trend di negara ini apabila ada segelintir peniaga yang menambah bara arang dalam minuman kopi sebelum ia diminum pengguna.
Bagaimanapun tindakan sedemikian adalah satu kesalahan dibawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh didakwa, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Mana-mana peniaga atau pengusaha premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.
“Kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan. Arang tidak dikategorikan sebagai makanan,” demikian menurut KKM dalam satu kenyataan.
Minuman kopi arang telah menjadi trend dimana kopi dicampur dengan bara arang atau disebut sebagai “Kopi Joss” di Indonesia. Katanya, ia mempunyai rasa unik dan boleh menyingkirkan toksin dari dalam badan.
Namun pakar kesihatan meluahkan kebimbangan dengan tindakan meminum kopi arang kerana bimbang ia boleh mengundang kesan buruk seperti kanser disebabkan sifat karsinogenik atau toksin pada arang tersebut.
Sumber: BERNAMA