“Kematian Akibat Buli Siber Hampir Sama Nisbahnya Dengan Sebuah Pembunuhan,” Hujah Pemenang Simulasi Debat Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia

Sebuah simulasi debat anjuran Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bersempena dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (WSPD), diraikan menjelang September 10 setiap tahun. 

“kematian akibat buli siber hampir sama nisbahnya dengan sebuah pembunuhan,” hujah pemenang simulasi debat hari pencegahan bunuh diri sedunia

Dialog tersebut dianjurkan bersama Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM dan Content Forum, dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), pasukan Debat Bahasa Inggeris UKM, Zero Suicide Sarawak, dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain (NGO) di Malaysia. 

Penganjuran acara tersebut adalah tepat pada masanya, memandangkan kegiatan buli siber kini merupakan sebuah epidemik yang terus berleluasa dalam masyarakat kita hari ini. Menurut laporan United Nations Children’s Fund, Malaysia menduduki tangga kedua di Asia bagi kegiatan buli siber dalam kalangan belia pada tahun 2020, di mana tiga daripada 10 belia Malaysia telah menjadi mangsa kegiatan buli siber. 

Dengan usul ‘Dewan Ini Akan Mempertanggungjawabkan Pembuli Siber Atas Perbuatan Bunuh Diri oleh Mangsa Mereka’, debat tersebut bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran orang ramai mengenai advokasi pencegahan bunuh diri, khususnya impak dan akibat kegiatan buli siber ke atas kesihatan mental dan kesejahteraan seseorang secara umumnya. 

Fareez Zahir, bekas pendebat bertaraf dunia dan alumni UIAM yang menyandang peranan selaku Perdana Menteri di pihak Kerajaan berhujah, “Kami yakin bahawa kegiatan buli siber adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dipandang remeh. Kami percaya bahawa udang-undang seharusnya melindungi mangsa buli siber dan para pembuli siber perlu dikenakan hukuman yang setimpal di sisi undang-undang. 

“Kegiatan ini membinasakan dan telah berlarutan terlalu lama untuk pihak Kerajan untuk terus berdiam diri dan tidak menghiraukan permasalahan ini. Kegiatan buli siber yang mengakibatkan perbuatan membunuh diri ini hampir sama nisbahnya dengan sebuah pembunuhan. 

“Meskipun para pembuli mungkin tidak mempunyai niat untuk membunuh secara langsung, kegiatan buli mereka yang bersasar, berterusan dan membinasakan ini mempunyai potensi untuk mengakibatkan kematian seseorang individu,” tegas beliau. 

Fareez menampilkan hujah tambahan bahawa kini telah wujudnya undang-undang berkaitan anti-pemerdagangan, anti-gangguan seksual dan perlindungan kanak-kanak, namun tidak ada sebarang undang-undang untuk melindungi golongan masyarakat yang berdepan dengan isu-isu kesihatan mental seperti tekanan jiwa. 

“Mengapa wujudnya jurang antara kesihatan mental dan kemudaratan fizikal? Saya percaya kerajaan perlu memainkan peranan untuk menggubal undang-undang bagi melindungi golongan ini dan menghukum pembuli siber,” ujar beliau semasa mengutarakan cadangan untuk mewujudkan hukuman penjara buat para pembuli sekiranya didapati bersalah. 

Pihak Pembangkang, diketuai oleh Suresh Gnasegarah, juga merupakan bekas pendebat bertaraf dunia dan alumni MMU, menangkis penghujahan pihak Kerajaan dan menegaskan bahawa pihak Kerajaan boleh memperhalusi pendekatan mereka untuk menangani isu tersebut. 

“Pihak Kerajaan ingin menggunakan pendekatan yang berasaskan konsep pembalasan dan hukuman ke atas para pelaku, di mana ia tidak akan menyelesaikan kemelut ini kerana pendekatan sebegini tidak mensasarkan kelompok yang tepat dalam masyarakat kita. Kami percaya bahawa kegiatan buli siber ini adalah sebuah isu yang membabitkan masyarakat kita secara umumnya, dan pendekatan berasar seperti yang disarankan oleh pihak Kerajaan ini hanya akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan,” ujar beliau.

Beliau mengulas lanjut bahawa dalam kebanyakan kes, kegiatan buli siber melibatkan lambakan komen daripada pelbagai individu yang mensasarkan mangsa tersebut, justeru menjadi sebab utama mengapa perundangan yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan tidak boleh dilaksanakan. 

“Punca perbuatan bunuh diri tidak boleh dirumuskan kepada sebuah faktor semata-mata. Ia tidak hanya tertakluk kepada komen atau gangguan yang dicetuskan oleh seseorang; gabungan pelbagai faktor boleh menyumbang kepada perbuatan bunuh diri, misalnya persekitaran dan nilai-nilai kemasyarakatan yang disemai dalam diri seseorang, tahap kesihatan mental, tekanan rakan sebaya, dan pelbagai lagi,” titip beliau. 

Sesi debat tersebut menobatkan pihak Kerajaan selaku pemenang, dan mereka membawa pulang hadiah utama berjumlah RM2,000 oleh pihak Forum Kandungan. Hasil kemenangan mereka akan disalurkan kepada Women’s Aid Organisation (WAO). Manakala pihak Pembangkang yang memenangi wang tunai berjumlah RM1,000 pula akan menyalurkan hasil kemenangan mereka kepada Befrienders KL. 

Dalam ucapan akhir Kenny Ong, Pengerusi Forum Kandungan, beliau menegaskan bahawa tekanan jiwa adalah isu yang nyata, dan mereka yang bergelut dengan tekanan jiwa sering kali berdepan dengan situasi-situasi yang menjerut mereka untuk membuat keputusan antara hidup dan mati mereka. 

“Para pemain industri dan pereka kandungan juga mempunyai peranan yang penting, terutama sekali melibatkan laporan yang bertanggungjawab mengenai perbuatan bunuh diri. Tindakan mensensasikan kematian akibat perbuatan bunuh diri yang sering mengambil tempat dalam ruang lingkup media juga merupakan sesuatu yang cukup membimbangkan,” ujar Ong.

Pihak media perlu memanfaatkan garis panduan yang sedia ada bagi laporan perbuatan bunuh diri dan mematuhi kawal selia kendiri untuk memartabatkan laporan-laporan yang sensitif dan bertanggungjawab. 

Pihak Forum Kandungan percaya bahawa usaha bersepadu oleh anggota masyarakat, termasuk para pemain industri dan dunia kandungan adalah penting untuk melindungi komuniti masyarakat. Selaras dengan pandangan tersebut, Forum Kandungan telah mengkaji semula Kod Kandungan mereka baru-baru ini untuk mencerminkan nilai-nilai kemasyarakatan semasa hari ini. 

Layari www.contentforum.my untuk maklumat lanjut.