Perintah Pembatasan Kegiatan masyarakat (PPKM) darurat di Indonesia telah dilanjutkan sehingga 2 Ogos depan, seperti yang diumumkan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.
PPKM Tahap 4 yang sepatutnya tamat kelmarin telah disambung bermula Isnin dengan beberapa kelonggaran mula diberikan kepada rakyat.
Antaranya membenarkan peniaga kecil beroperasi dan juga mengizinkan aktiviti di kedai makan dengan syarat ketat iaitu terhad kepada 20 minit sahaja.
“Pengunjung boleh menikmati hidangan di kedai namun dalam tempoh masa terhad iaitu selama 20 minit sahaja.
“Pasar barangan harian pula dibenarkan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 3 petang,” kata Jokowi dalam kenyataan medianya.
Ekoran daripada pengumuman itu, rata-rata rakyat dinegara berkenaan mempersoalkan had masa makan di kedai dalam tempoh 20 minit yang dianggap terlalu singkat.
“Kalau makan tergesa-gesa kerana mahu menepati masa 20 minit, nanti ada yang mati tercekik pula.
“Tuan Presiden diharap boleh pertimbangkan had masa yang lebih panjang dengan protokol kesihatan lebih ketat,” komen seorang pengguna media sosial.
Selain itu, bengkel dan tempat cuci kenderaan, kedai gunting rambut dan dobi layan diri juga diberi kelonggaran beroperasi sehingga jam 9 malam.
Sehingga ini, terdapat 3,194,733 jumlah kes COVID-19 dicatatkan di Indonesia, dengan lebih 84 ribu kematian, seperti yang dilaporkan oleh WHO.
Sumber: Kosmo!