Gimik Penyanyi Rap Danupha Khanatheerakul Makan Pulut Mangga Di Coachella Tarik Perhatian Dunia!

Penyanyi rap Thailand, Danupha Kanateerakul tidak semena-mena mencetuskan fenomena baru terhadap pulut mangga selepas gimiknya menikmati hidangan popular negara itu di atas pentas Coachella, di Amerika Syarikat pada hujung minggu lalu.

gimik penyanyi rap danupha khanatheerakul makan pulut mangga di coachella tarik perhatian dunia!

Aksi Danupha telah menarik perhatian orang ramai termasuk Jabatan Promosi Kebudayaan Thailand yang merasakan wajar untuk mempertimbangkan permohonan menyenaraikan juadah pencuci mulut itu sebagai warisan budaya UNESCO.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Promosi Kebudayaan, Chai Nakornchai menerusi satu kenyataan, jabatannya kini sedang mengumpul maklumat yang diperlukan untuk mengemukakan permohonan itu.

Danupha, 19, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Milli, mencuri perhatian dunia apabila dia menamatkan persembahan di Festival Muzik dan Seni Coachella Valley di Indio, California dengan memakan pulut mangga ketika berada di atas pentas.

Persembahan beliau kemudian menjadi trending di Twitter sehingga turut menyebabkan jualan pulut mangga meningkat secara mendadak.

Terdahulu, penyanyi rap muda itu pernah menjadi tumpuan media pada Julai tahun lalu apabila Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha memfailkan saman fitnah terhadapnya selepas penyanyi itu mengecam tindakan Prayuth dalam menguruskan pandemik COVID-19 yang didakwanya kurang berkesan.


Sumber: [1]