Gempa Bumi Kuat Landa Barat Sumatera

Satu gempa bumi kuat melanda barat Pulau Sumatera di Indonesia awal hari ini sehingga menyebabkan penduduk melarikan diri dari rumah masing-masing.

gempa bumi kuat landa barat sumatera

Bagaimanapun, tiada kerosakan atau mangsa cedera yang dilaporkan.

Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud itu melanda pada jam 4.06 pagi pada kedalaman 21 kilometer dengan pusat gempa - 167 kilometer ke barat bandar pantai Pariaman dan 197 kilometer dari Padang, kata Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

“Gempa bumi itu dirasai selama seminit pada intensiti sederhana apabila orang ramai panik dan meninggalkan rumah mereka,” kata Lembaga Kebangsaan Untuk Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).

Gegaran itu diikuti beberapa siri gegaran susulan yang kuat.

Pada mulanya, Pusat Amaran Tsunami Pasifik menyatakan bahawa gempa bumi itu berpotensi menjana tsunami yang menjejaskan rantau Lautan Hindi namun ia kemudian menarik semula amaran tersebut.

“Berdasarkan laporan terkini, tiada kerosakan dan mangsa tetapi kami meneruskan pemantauan. Gegaran amat dirasai di Pulau Nias Selatan,” kata Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Nias, Agus Wibisono.


Sumber: [1]