Gangguan Air Di Selangor Hingga 68 Jam, Bermula Selasa Depan

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, sebanyak 86 kawasan di wilayah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam, bermula Selasa depan, 30 Mac, sehingga 6 April 2021.

gangguan air di selangor hingga 68 jam, bermula selasa depan

Memetik kenyataan penuh yang dikeluarkan menerusi Facebook rasmi Air Selangor, gangguan ini berikutan kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Air Selangor tahun ini.

 

Tindakan itu juga diambil bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan bekalan air yang berterusan dan ia sudah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

 

"Kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates akan dilakukan jam 9 pagi 6 April, dan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.

"Berikutan henti tugas ini, 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.

"Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam akan dijalankan pada 30 Mac 2021 bermula jam 9 pagi yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.

"Kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 5 kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 12 kawasan di Wilayah Shah Alam," katanya.

 

Tambah lagi, Air Selangor turut merancang untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan aset utama di Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 pada 15 Jun, LRA Sungai Langat (6 Julai) dan LRA Sungai Selangor fasa 1 (5 Okt).

 

Rujuk jadual di laman sesawang Air Selangor untuk kawasan dan tarikh kerja-kerja penyelenggaran itu akan dilakukan.

Sumber: Air Selangor