Filem arahan Syafiq Yusof, SHERIFF telah meraih kutipan melebihi RM 1 juta pada tayangan awal (‘sneak preview’) pada 17 April di pawagam dan sekali gus berada di tangga pertama di carta Top 10 GSC Malaysia dan mengetepikan filem antarabangsa. Sheriff merupakan terbitan dua penerbit besar tempatan iaitu Skop Productions bersama Astro Shaw, dan akan memulakan tayangan rasminya pada hari ini di panggung wayang seluruh negara.
“Alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan pada tayangan awal semalam. Ini adalah permulaan yang baik untuk Sheriff dan kami menjangkakan penonton akan pergi ke pawagam terutamanya pada hujung minggu ini untuk menyaksikan Sheriff. Kami mengharapkan filem ini mampu menepati cita rasa penonton.
“Ajak rakan-rakan atau keluarga meluangkan masa bersama dengan menikmati Sheriff yang memaparkan subjek ‘polis tangkap polis’ dari lakonan mantap pelakon-pelakon tanah air. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat pihak media dan pemamer dalam memberi sokongan padu pada Sheriff,” kata Pengarah, Cerita Asal dan Lakon Layar filem Sheriff, Syafiq Yusof.
Sheriff menampilkan watak Nazri, seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa. Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman. Dalam masa yang sama, Sheriff, seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.
Temui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 20, 21, 27 dan 28 April. Ikuti perkembangan dan maklumat lanjut di akaun media sosial Astro Shaw atau Skop Productions, Facebook, TikTok, Instagram dan X.