Filem Seram Komedi Hantu Mok Joh Gabung Unsur Moden & Tradisional, Guna Dialek Kelantan

Filem mahupun drama yang mengetengahkan dialek Kelantan dilihat sering berjaya menarik perhatian penonton Malaysia misalnya filem No. 1 terlaris di Astro First, Mael Totey the Movie, telefilem yang pernah tular sekitar 2018, Pok Ya Cong Codei, filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25, Bunohan, dan banyak lagi.

filem seram komedi hantu mok joh gabung unsur moden & tradisional, guna dialek kelantan

Terbaru, sebuah lagi filem dengan dialek Kelantan yang mengetengahkan genre seram komedi, Hantu Mok Joh bakal menemui penonton di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 17 Februari ini.

Filem ini merupakan terbitan produksi Kentang Hijau Universal Production dan diarahkan oleh Asri Baq’U.

Filem yang menjalani sesi penggambaran di Kota Bharu, Kelantan ini menampilkan pelakon berbakat besar tanah air seperti Amerul Affendi (sebagai Yem), Fauziah Nawi (Mok Joh) dan Aloy Paradoks (Heri) sebagai teraju utama. 

filem seram komedi hantu mok joh gabung unsur moden & tradisional, guna dialek kelantan

Menariknya, Amerul Affendi sekali lagi mempertaruhkan bakatnya dengan membawa watak yang memerlukan bertutur dalam loghat Kelantan dan menjadi penari Mak Yong.

Selain itu, filem ini turut dibintangi oleh pelakon-pelakon kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut, seperti Aprena Manrose, Kamarool Hj. Yusoff, Amir Raja Lawak, Hushairi Husain, Asrulfaizal Kamaruzaman, Mek Yun (Wee Yun Nee) wanita Cina tular fasih berbahasa Melayu, Kuna Munzani, Bea Rameshan serta pelakon Kodi Rasheed.

Penerbit Eksekutif Filem Hantu Mok Joh, Udin Sham berkata, “Hantu Mok Joh merupakan filem pertama terbitan Kentang Hijau Universal Production dan idea asal oleh pengarah filem ini sendiri, Asri Baq’U. Pihak kami cuba menampilkan kelainan dengan menggabungkan elemen seni moden dan tradisional. Tambah menarik, dialog filem ini mengangkat budaya Kelantan dan memaparkan kisah kehidupan masyarakat setempat yang amat dekat dengan kita.”

filem seram komedi hantu mok joh gabung unsur moden & tradisional, guna dialek kelantan

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pula menyatakan, “Sebagai sebuah platform yang mempersembahkan filem-filem tempatan kepada penonton Malaysia, kami bukan sahaja bertanggungjawab mengetengahkan karya yang mempunyai nilai hiburan dan jalan cerita yang baik, malah turut mengutamakan nilai budaya dan estetika. 

“Kelainan Hantu Mok Joh berbanding filem seram komedi yang lain adalah ia diwarnai dengan unsur seni tradisional seperti Mak Yong, dikir barat, patung wayang kulit, dan ini sekali gus membuktikan seni warisan boleh dimartabatkan menerusi filem moden dengan gaya kreatif. 

“Kami harap kehadiran naskhah ini mampu memperkasakan lagi filem-filem yang menonjolkan budaya lokal, di samping dapat menghiburkan penonton.”

filem seram komedi hantu mok joh gabung unsur moden & tradisional, guna dialek kelantan

Kisah Hantu Mok Joh bermula apabila pelbagai andaian mula muncul rentetan dari kehilangan Mok Joh yang dikatakan mati kerana melanggar sumpah Saka Mak Yong yang dipeliharanya. Namun yang menjadi misteri ialah, sehingga kini jenazah Mok Joh masih belum ditemui. Penduduk kampung mula diganggu makhluk yang dikatakan sebagai hantu Mok Joh. Kedai Kopi Pok Heng yang selama ini kekurangan pelanggan, kini menjadi ruang para penduduk membincangkan isu panas tersebut.

Saksikan filem seram komedi, Hantu Mok Joh yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 17 Februari 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. 

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

ARTIKEL BERKAITAN