Farah Ann Mungkin Tidak Sertai Sukan SEA Tahun Ini

Harapan untuk menyaksikan Ratu Gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi beraksi pada Sukan Sea Hanoi di Vietnam semakin pudar.

farah ann mungkin tidak sertai sukan sea tahun ini

Menurut Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril memberi bayangan pemenang emas Sukan Sea 2019 itu mungkin tidak menyertai temasya dwitahunan berkenaan.

Namun, tambahnya peluang masih terbuka untuk melihat Farah Ann dalam Sukan Sea pada saat-saat akhir sekiranya beliau menjelaskan status terkininya untuk bersama skuad kebangsaan sebelum 12 Mac ini, iaitu tarikh akhir pendaftaran oleh pihak penganjur sukan tersebut.

“Saya boleh memberi bayangan bahawa Farah Ann mungkin tidak bertanding dalam Sukan Sea….tetapi kita masih ada lagi tiga hari untuk membuat keputusan.

“Namun, dalam masa tiga hari, sama ada kita ada pilihan atau tidak (untuk menyenaraikan Farah Ann dalam pasukan), tertakluk kepada Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada pihak teknikal dan para jurulatih dan mereka juga akan meneliti laporan perubatannya, sama ada beliau tersedia atau tidak untuk bertanding,” katanya.

1 Mac lalu, Afrita Ariany berkata Farah Ann mungkin menimbangkan untuk bersara kerana usia atau kecederaan.

Namun, MGF masih terbuka untuk perbincangan sekiranya beliau memerlukan bantuan.


Sumber: [1]