Switzerland mencatatkan kemenangan yang tidak terjangka apabila pasukan terbabit berjaya menyingkirkan Perancis dengan kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti dalam aksi pusingan 16 Euro 2020.
Ketika perlawanan tersebut berlangsung, ia seperti telah tertulis bahawa pasukan Perancis yang akan ke mencakupi slot ke suku akhir berdasarkan kualiti serta barisan pemain yang turut beraksi.
Bagaimanapun, pemenang Piala Dunia 2018 itu kemudiannya ketinggalan terlebih dahulu setelah Haris Seferovic membuat jaringan pada minit ke-15.
Perancis akhirnya menemui rentak apabila Hugo Lloris menepis keluar sepakan penalti Ricardo Rodriguez yang meningkatkan semangat mereka apabila berjaya menyumbat dua jaringan pantas menerusi Karim Benzema pada minit ke-57 dan 59.
Ketika perlawanan itu berbaki 15 minit, Paul Pogba merembat masuk gol dari luar kotak penalti sekali gus membuka jalan Les Blues untuk mara ke suku akhir.
Bagaimanapun, pasukan Switzerland kekal tidak putus asa untuk merencana serangan hingga berjaya mengurangkan defisit pada minit ke-81 apabila Seferovic meledak gol kedua dalam perlawanan tersebut.
Ketika pasukan Perancis kian leka, Switzerland berjaya merampas bola yang dikawal Perancis ditambah pula dengan gerakan pantas Mario Gavranovic yang meledak gol penyamaan dalam masa kecederaan.
Perlawanan antara dua pasukan itu kemudian diheret hingga ke penentuan penalti, yang mana bintang Paris Saint-German (PSG) menjadi punca kekalahan Perancis setelah haluan percubaannya berjaya dibaca Yann Sommer.
Kemenangan yang tidak disangka itu sekali gus melayakkan Switzerland mara ke suku akhir buat pertama kali dalam tempoh 67 tahun.
Sumber: [1]