EURO 2020 – Saingan Semakin Sengit

euro 2020 – saingan semakin sengit

Peringkat kumpulan EURO 2020 telah tamat. Daripada 24 pasukan yang memulakan saingan, kini 8 telah tersingkir. Antara pasukan tersingkir ialah Turki yang dijangka menjadi ‘dark horse’ pada kejohanan ini. Namun Turki hanya jaringkan 1 gol, bolos 8 gol dan tewas 3 perlawanan. Tersingkir tanpa sebarang mata.

Memasuki pusingan 16 terbaik, kebiasaannya akan menghasilkan perlawanan antara pasukan-pasukan besar dan kali ini tidak terkecuali. Pasukan nombor 1 dunia, Belgium menang kesemua perlawanan kumpulan sekaligus menjuarai kumpulan B. Belgium akan berdepan juara bertahan, Portugal yang duduki tempat ke-3 kumpulan F.

euro 2020 – saingan semakin sengit

Perlawanan ini dijangka akan menghasilkan banyak gol. Belgium dah jaringkan 7 gol setakat ini. Memandangkan pertahanan Portugal telah melepaskan 6 gol, sudah pasti gandingan Kevin de Bruyne, Eden Hazard dan Romelu Lukaku akan memberi masalah kepada skuad kendalian Fernando Santos ni.

euro 2020 – saingan semakin sengit

Portugal pula telah jaringkan 7 gol pada peringkat kumpulan. 5 daripadanya dijaringkan oleh kaptennya, Cristiano Ronaldo. Ronaldo juga mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan 5 gol. Kalau ada individu yang mampu bawa Portugal mara jauh pada kejohanan ini, Ronaldo lah orangnya. Ronaldo juga dijangka akan memecahkan rekod jaringan di peringkat antarabangsa jika mampu menjaringkan 1 lagi gol di EURO 2020. Buat masa ini, Ronaldo telah menyamai rekod bekas penyerang Iran, Ali Daei dengan 109 gol pada peringkat antarabangsa.

euro 2020 – saingan semakin sengit

Jerman dan England merupakan satu lagi perlawanan tumpuan pusingan 16 terbaik ini. Jerman yang mulakan kempen EURO 2020 dengan kekalahan, berjaya bangkit untuk meraih 4 mata dalam 2 perlawanan seterusnya sekaligus muncul naib juara kumpulan maut iaitu kumpulan F. England pula menjuarai kumpulan D tanpa melepaskan sebarang gol dalam 3 perlawanan.

Pertemuan kedua-dua pasukan ini pasti mengimbau banyak kenangan. Pada Piala Dunia 2010, England tewas 1-4 kepada Jerman pada pusingan 16 terbaik. Namun, insiden yang tidak boleh dilupakan peminat England pastinya jaringan Frank Lampard yang tidak dikira oleh pengadil perlawanan.

euro 2020 – saingan semakin sengit

Pada EURO 2000, England berjaya kalahkan Jerman 1-0 pada aksi kumpulan. Namun Skuad The Three Lions tersingkir daripada saingan kumpulan selepas kalah 2 perlawanan lain. Oh, Jerman pun tersingkir kerana berada di kedudukan tercorot.

Separuh akhir EURO 1996 mungkin menyaksikan perlawanan paling sengit antara kedua-dua pasukan. Terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan, Jerman mara ke final selepas menang 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti. Gareth Southgate yang merupakan pengurus England ketika ini merupakan satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penaltinya pada perlawanan tersebut.

euro 2020 – saingan semakin sengit

Perlawanan terakhir yang boleh dianggap perlawanan tumpuan pada pusingan ini ialah Croatia dengan Sepanyol. Croatia benam Scotland 3-1 pada perlawanan terakhir kumpulan D untuk muncul sebagai naib juara. Sepanyol juga berdepan laluan berliku selepas seri 2 perlawanan pertama mereka sebelum membelasah Slovakia 5-0 pada aksi terakhir untuk mara sebagai naib juara kumpulan E.

euro 2020 – saingan semakin sengit

Mungkin kejohanan antarabangsa terakhir Luka Modric, sudah pasti dia ingin membantu Croatia muncul juara EURO 2020. Lebih-lebih lagi selepas tewas kepada Perancis pada aksi final Piala Dunia 2018, Modric yang berusia 35 tahun semakin kesuntukan masa untuk meraih trofi antarabangsa.

euro 2020 – saingan semakin sengit

Prestasi Sepanyol pula tidak begitu memberangsangkan. Corak permainan mereka tidak meyakinkan biarpun ketika membelasah Slovakia. Penyerang utamanya, Alvaro Morata dikritik hebat kerana mensia-siakan banyak peluang menjaringkan gol termasuk gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi terakhir kumpulan E.

Oleh: Karami Kamel

ARTIKEL BERKAITAN