EURO 2020 - Lewandowski dan Poland Pulang Awal

euro 2020 - lewandowski dan poland pulang awal

Robert Lewandowski yang merupakan antara penyerang prolifik terpaksa ucap selamat tinggal kepada kejohanan EURO 2020. Poland tumpas 2-3 kepada Sweden pada aksi terakhir kumpulan E sekaligus duduki tangga terakhir hanya dengan 1 mata.

euro 2020 - lewandowski dan poland pulang awal

Poland mulakan kempen EURO dengan kekalahan 1-2 kepada Slovakia. Ketika keputusan terikat 1-1, Poland terpaksa tamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas salah seorang pemainnya dilayankan kad merah. Berdepan Sepanyol, Poland pamer prestasi yang lebih baik. Lewandowski muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan untuk bantu pasukannya seri 1-1 sama – sekaligus menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik.

euro 2020 - lewandowski dan poland pulang awal

Pada aksi terakhir berdepan Sweden, Poland berdepan misi wajib menang. Namun, Sweden terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-2 sebelum menambah satu lagi jaringan pada minit ke-59. Enggan mengaku kalah, Lewandowski beraksi habis-habisan dan berjaya menjaringkan 2 gol untuk menyamakan kedudukan 2-2 dengan perlawanan berbaki 6 minit. Dalam usaha mencari gol kemenangan, Sweden melancarkan serangan balas pada waktu kecederaan dan Viktor Claesson menjaringkan gol ke-3 mereka. Keputusan itu menyaksikan Sweden muncul juara kumpulan manakala Poland kekal di tangga tercorot dan terpaksa pulang awal.

euro 2020 - lewandowski dan poland pulang awal

Lewandowski bagaimanapun akur apabila pasukan kebangsaannya gagal mara ke pusingan 16 terbaik EURO. Ini bukan kali pertama Poland tersingkir awal pada kejohanan utama antarabangsa. Poland turut tersingkir di peringkat kumpulan dalam kejohanan sama pada 2008 dan 2012. Pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan EURO adalah pada 2016 apabila berjaya melangkah ke suku akhir. Namun, Poland tewas kepada Portugal 3-5 menerusi sepakan penalti. Portugal menamatkan kempen tersebut sebagai juara.

euro 2020 - lewandowski dan poland pulang awal

Bakal berusia 33 tahun Ogos depan, masa semakin suntuk untuk Lewandowski meraih trofi antarabangsa pertamanya. Ia merupakan sesuatu yang sukar untuk ditelan memandangkan Lewandowski telah memenangi semua trofi pada peringkat kelab bersama Borussia Dortmund dan Bayern Munich. Pada tahun 2020, Lewandowski bantu Bayern meraih 6 trofi dalam tempoh setahun – kelab kedua yang berjaya berbuat demikian selepas Barcelona pada 2009. Lewandowski memenangi kejuaraan Bundesliga, Piala Jerman, Liga Juara-Juara, Piala Super Jerman, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.

euro 2020 - lewandowski dan poland pulang awal

Namun, Lewandowski bukan pemain pertama yang ketandusan kejuaraan antarabangsa biarpun telah memenagi pelbagai trofi di peringkat kelab. Korang kenal tak Lionel Messi?

Oleh: Karami Kamel