Dua stesen radio di Malaysia iaitu ERA dan SURIA FM bakal bersiaran secara serentak di kedua-dua frekuensi pada pagi Isnin, 23 Oktober 2023.
Menerusi segmen 3 Pagi ERA dan Morning Morning Suria, dua jenama besar dalam penyiaran radio tempatan ini akan bersiaran serentak dari jam 6 hingga jam 10 pagi.
Diinspirasikan daripada CelcomDigi, kedua-dua stesen ini disatukan melalui penjenamaan ERA SURIA, Di Sini Segalanya Terkini, bakal menjanjikan hiburan radio tanpa batas, melalui barisan penyampai seperti Nabil, Azad, Radin, Ajak, Shuib dan Suraya.
“Meskipun kolaborasi ini menggabungkan dua jenama dari latar belakang berbeza, kami percaya bahawa pada penghujung hari, kandungan dan pengisian yang diterima oleh pendengar adalah perkara utama.
“Kami juga ingin mempamerkan persaingan sihat antara jenama radio dengan berkongsi nilai dan matlamat yang sama, seperti CelcomDigi, kami percaya bahawa ERA dan SURIA FM akan Gagah Bersama,” demikian menurut pengurus kandungan ERA, Hani Fadzil.
Jangan lupa dengarkan ERA SURIA, Di Sini Segalanya Terkini di frekuensi Suria fm dan ERA, serta melalui aplikasi SYOK dan aplikasi Suria Malaysia pada 23 Oktober 2023, jam 6 hingga 10 pagi.